Sidang Parlimen: Pembangkang sengaja heret emosi rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keperluan untuk mengadakan sidang parlimen perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dalam menentukannya.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu sendiri menyebut bahawa Parlimen boleh bersidang bukannya ada satu arahan untuk mengadakan persidangan dan sebagainya.

Jelasnya, sebagaimana yang maklum fungsi Parlimen membuat undang-undang, meminda undang-undang, meluluskan bajet, mengubah dasar dan sebagainya.

- Advertisement -

“Jadi dalam suasana Covid-19 yang melanda negara pada hari ini, bajet sudah lulus walau cuba ditentang oleh pembangkang dengan begitu kuat dalam urusan bajet baru-baru ini.

“Dari segi meminda atau mengadakan undang-undang yang baru dalam suasana yang darurat ini yang kita faham bahawa Parlimen tidak lagi mengadakan undang-undang tetapi disebutkan sebagai Ordinan.

“Jadi itu perkara asas yang perlu kita faham kenapa perlu ada persidangan itu sendiri, makna fungsinya telah tidak ada lagi buat masa ini,” katanya yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan.

Dalam pada itu, kata Che Abdullah desakan (dari pihak pembangkang) sangat cantik apabila menyoalkan ‘kenapa (Parlimen) tidak bersidang?’ yang boleh menarik emosi sokongan rakyat dan sebagainya.

“Kita ingat masa persidangan Parlimen dulu kalau sekadar celoteh kelakuan yang berlaku dalam Parlimen itu, rakyat pun jelek melihat bagaimana tingkah laku ahli Parlimen semasa persidangan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya itu bukan bermakna beliau tidak bersetuju untuk mengadakan Parlimen dan sebagainya.

“Apabila tiba masa yang sesuai dan kalau ada keperluan persidangan Parlimen itu boleh dibuat maka boleh dibuat,” katanya pada Wacana Sinar ke-239 bertajuk Dakwaan Sogok Ahli Parlimen: Strategi atau Terdesak, semalam.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Ketua Penerangan PKR, Dato’ Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Mujibu Abd Muis manakala moderator, Ismail Adnan. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -