Kenapa ada ahli PAS suka dengar fitnah dan sebarkan (Siri 4)?

- Advertisement -

PASTIKAN anda memahami syarat yang telah dinyatakan dalam Siri 1 sebelum menyambung membaca tulisan ini.

Gerak kerja fitnah bermula, tetapi fitnah apa?

Ketika permulaan Umno kalah di Terengganu pada 1999, ada di kalangan mereka yang menangis, tidak percaya. Kekecewaan mereka amat nyata dengan beberapa amukan kecil melampias kemarahan mereka di kedai-kedai kopi. Menghentak meja, mencarut, memaki pimpinan PAS pagi dan petang oleh ahli Umno, adalah seumpama membaca zikir al-Ma’thurat. Mereka geram, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Tersebar cerita kerusi dilayangkan ke arah gambar Presiden PAS yang tergantung sebagai MB Terengganu ketika itu dalam satu majlis perjumpaan mereka di sebuah premis Kerajaan Pusat sekitar Gong Badak. Ahli PAS tertawa mendengar kisah-kisah nakal ahli Umno yang kecewa itu. Keyakinan ahli-ahli PAS sangat utuh saat itu bahawa, Terengganu akan kekal di tangan PAS, sama seperti di Kelantan. Noktah.

Ketika mereka ketawa dalam yakin itu, perlahan-lahan Umno mulai bangkit. Tidak berapa lama setelah kekalahan itu, ahli-ahli berjaya dipujuk kembali oleh pimpinan mereka. Sebahagian ahli PAS tidak sedar bahawa ‘swing’ undi yang dilakukan oleh Umno Terengganu kepada PAS bukan hanya kerana isu Anwar. Tetapi juga kerana MB Terengganu sebelum itu terlalu lama memegang jawatan dan perbalahan dalaman Umno. Adegan mencekik leher di kediaman MB sewaktu pengumuman nama calon antara buktinya.

- Advertisement -

Ahli-ahli Umno kemudiannya dihantar berkursus bagi memulihkan semangat mereka. Umno menggunakan khidmat pakar motivasi. Beberapa bulan kemudian, markas-markas Umno kembali meriah, bercahaya dengan sinaran lampu sehingga malam hari kerana mereka mula bekerja. Lebih bersemangat lagi kerana duit royalti yang ditukar kepada wang ihsan, dipegang mereka melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Selain daripada mengemaskini data-data mereka, ada unit saraf Umno yang ditugaskan menyebar fitnah dan propaganda.

Seorang bekas pimpinan Umno, pernah memberitahu bagaimana permusuhan dalaman Umno ditangani. Kata beliau, dalam Umno, jika berbalah, hanyalah pimpinan sesama mereka. Manakala semua tugasan parti atau kerajaan dilaksanakan oleh petugas-petugas mereka. Manakala dalam PAS, ada petugas tumpang sibuk berkelahi, memberi kesan kepada kerja yang diamanahkan. Memeningkan kepala pimpinan dengan beban berganda itu.

Setelah dilantik menjadi MB, Presiden PAS menerima asakan awal dengan beliau dituduh berkahwin dengan seorang anak dara berumur 17 tahun. Banyak mata melirik kepada beliau, sambil kening terangkat dan mulut melopong. Ia memeranjatkan. YB PAS juga ada yang turut terkejut. Ahli-ahli pula cuba mereka-reka alasan bagi mempertahankan MB. Rupanya ia adalah bom asap oleh Umno, yang hanya mahu mengeluarkan musuh dari tempat persembunyian. Silap ahli PAS kerana tidak memakai topeng perlindungan asap.

Pun begitu, fitnah isu wanita, tidaklah dapat memberikan kesan besar kepada PAS. Kerana jika tidak terbukti, tiada siapa yang mempercayainya. Bab arak, judi? Maaf, jangan. Nanti pemfitnah pula yang kena. PAS tidak sesuai dengan fitnah sebegitu dan Umno maklum akan hal itu. Sehingga PAS kalah, saya tidak mendengar YB-YB PAS Terengganu ada kes-kes dengan kes-kes ini. Jadi fitnah penyelewengan kuasa, duit atau rasuah adalah fitnah terbaik bagi menjatuhkan PAS. Umno pakar menjerat dalam hal ini.

Termasuk dalam isu ini, ialah balak. Pernah disiarkan pada muka depan akhbar utama milik Umno bahawa PAS telah meluluskan satu kawasan balak yang luas kepada Harakah di Dungun. PAS juga telah meluluskan kepada satu syarikat balak yang bosnya hanya berusia 24 tahun di Setiu. Lagi, PAS juga telah memusnahkan kawasan balak sewenang-wenangnya. Cawangan, sayap-sayap parti, kawasan-kawasan juga mendapat kawasan balak, yang mengambil levi dari tauke-tauke balak dan berbagai fitnah lagi.

Ada ramai ahli PAS yang percaya sambil menggeleng-gelengkan kepala mereka bagi menunjukkan kezuhudan mereka dengan harta dunia. Teruk betul pimpinan PAS. Kesian Ayah Chik nak kawal semua ini, antara keluhan mereka. Yang mereka tidak sedar ialah portfolio sumber asli, tanah, kewangan adalah portfolio wajib bagi MB. Mereka menuduh YB lain berbuat onar dan mengasihani Presiden PAS, tanpa mereka sedari fitnah itu tertuju kepada MB. Mereka begitu naif, dan kesempatan inilah yang diguna oleh Umno.

Akhirnya, terbukti semua pemberian kepada syarikat-syarikat itu adalah mengikut perundangan. Dan tuduhan-tuduhan kepada cawangan-cawangan, kawasan-kawasan dan juga sayap-sayap, menerima apa-apa suapan sehingga kini, tiada satu pun yang berjaya dibuktikan adanya sebarang penyelewengan. Umno yang kemudiannya kembali memerintah, tidak pernah juga mengheret PAS ke muka pengadilan bagi isu balak.

Namun, ketika ahli-ahli PAS sedar semua itu hanya fitnah, tampuk pemerintahan Terengganu sudah pun bertukar tangan. Dan kemudian, sebahagian mereka mula menyesal dan ada juga memaki hamun Umno yang dikatakan menipu itu. Bola sudah berada dalam jaring, pengadil sudah mengesahkannya, caci maki pun, tiada gunanya lagi, tetaplah gol itu dikira. Pada malam kemenangan Umno itu, ahli-ahli Umno keluar berarak mengelilingi bandar Kuala Terengganu. Ada yang mengangkat plakad ‘back to the future’.

Sekarang ahli-ahli PAS pula yang menangisi kekalahan hasil daripada termakan fitnah selain daripada kelicikan Umno dalam daftar pemilih. Mereka juga menyaksikan ada rakan atas pagar yang menyokong mereka dahulu, pada malam itu, turut mengibarkan bendera Umno dan BN. Rupanya wang ihsan dan fitnah kepada pimpinan PAS menyeleweng itu, dipercayai oleh ramai orang atas pagar. Lojiknya, jika ahli PAS sendiri ragu-ragu dengan sifat amanah pimpinan PAS, mana mungkin orang atas pagar pula akan mempercayainya.

Sebaliknya, ahli-ahli PAS pula yang lebih-lebih mencebik bibir. Umno tersenyum, jerat sudah mengena. Tetapi jika ahli PAS tidak mempedulikan fitnah-fitnah itu dan sentiasa menerangkan kepada orang lain akan kebaikan pimpinan PAS, sekurang-kurangnya kemusnahan itu akan berkurangan jika berlaku, kalau pun tidak semua dapat diselamatkan. Biarkan masalah dalaman diselesaikan sesama pimpinan, jika ada. Tapi apakan daya, ramai ahli merasa lebih alim, takwa dan zuhud daripada pimpinan.

Kita tidak mempunyai media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter ketika itu. Penularan berita dan penerangan ringkas, banyak berlaku di kedai-kedai kopi atau paling canggih ialah sistem pesanan ringkas (sms). Tidak semua yang mempunyai telefon bimbit. Dan, kedai kopi Umno kembali ceria, manakala kedai kopi PAS pula suram kerana kalah.

Bersambung…

MOHD NASIR ABDULLAH
17 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 17/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -