FINAS cungkil kisah dalang wayang kulit tersohor

- Advertisement -

- Advertisement -

ALOR SETAR: Filem The Puppet Master – Trilogy menceritakan kisah benar tok dalang wayang kulit tersohor di Kedah, era 1970-an dan 1980-an Mat Lebai Lateh atau dikenali sebagai Tok Khedheng.

Filem itu diproduksi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dengan memilih Kedah sebagai lokasi pengambaran filem berkenaan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penggambaran dilakukan di Lubuk Serunai, Jeneri walaupun kisah Tok Khedheng di Pendang.

“Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kerana memilih Sik,” katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran dan menandatangi perjanjian Persefahaman (MuU) di Dewan Seri Mentaloon malam tadi.

Menurutnya Sik dipilih kerana daerahnya cantik serta tidak tercemar dan amat sesuai untuk pengambaran filem berkenaan.

Kata beliau selain mempromosikan Kedah filem The Pupper Master memperkenalkan kembali seni wayang kulit dan menora yang menjadi sebahagian khazanah budaya masyarakat Kedah.

“Orang Kedah ini hebat dalam kesenian. Budaya masyarakat Thailand dan Melayu silih berganti melalui seni menora dan wayang kulit yang terkenal suatu ketika dahulu,” ujarnya.

The Puppet Master bahagian pertama akan ditayang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sanusi juga berkata, golongan muda ketinggalan mengenali budaya masyarakat zaman lampau kerana zaman sains dan teklologi sekarang mereka lebih memilih bermain game.

“Seni macam ini ramai yang tidak tahu. Jadi filem tersebut dapat membuka lembaran baharu untuk golongan muda kenal seni yang ribuan tahun berada dalam masyarakat kita,” tambahnya.

Pada program tersebut Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan beraksi sebagai seorang pengarah filem.

Hadir sama isteri Menteri Besar Jusmalailani Jusoh, Exco Kerajaan Negeri, Dr Robert Ling, Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid, Ketua Eksekutif FINAS Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Sutradara Imran Ismail dan seniwati Wilma Muhammad. – HARAKAHDAILY 16/3/2021

- Advertisement -