Kalimah Allah dihad perkara dibenarkan sahaja

- Advertisement -

KOTA BHARU: Undang-undang penggunaan kalimah Allah mesti dihadkan untuk tujuan yang dibenarkan sahaja supaya tidak timbul kekeliruan yang dikhuatiri membawa penghinaan terhadap agama Islam.

Sehubungan itu, Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad turut menyokong Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi isu penggunaan kalimah Allah.

Katanya, Mahkamah Rayuan boleh memberi satu penegasan bagi memuktamadkan resolusi berkaitan isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan oleh penganut agama lain.

- Advertisement -

“Perlu ada undang-undang penggunaan kalimah Allah mesti dihadkan untuk yang dibenarkan sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu iaitu Baitullah, Kaabah dan solat.

Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) difahamkan memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkara lain dalam penerbitan penganut agama Kristian untuk tujuan pendidikan.

Idris juga berkata, menggunakan kalimah Allah bagi kegunaan membawa agenda hinaan dan meletakkan kalimah Allah pada tempat yang dilarang perlu ada undang-undang mengenainya.

Manakala dalam perkembangan berkaitan sekumpulan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak mahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam.

Satu kenyataan menyebut 50 wakil rakyat dan empat ahli Dewan Negara memberitahu dengan berbuat demikian, ia dapat menamatkan polemik yang dihadapi masyarakat di Sabah, Sarawak serta Orang Asli yang sudah berlanjutan. – HARAKAHDAILY 16/3/2021

- Advertisement -