Elok Ku Li tidak jadi penasihat Umno

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tengku Razaleigh Hamzah dinasihatkan tidak meniupkan api permusuhan dengan menyamakan gelaran tidak baik terhadap parti lain.

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gelaran ‘pelacur’ kepada rakan seagama bukan satu perbuatan yang baik.

“PAS tidak kenal pelacur. Hanya yang biasa langgan pelacur sahaja yang kenal pelacur. Tak eloklah gelar begitu kepada rakan seagama,” katanya pada sidang media di Seri Mentaloon semalam.

- Advertisement -

Menurutnya juga sebagai penasihat Umno, Tengku Razaleigh sewajarnya memberi nasihat kepada parti itu agar mengeratkan hubungan bersama PAS dan mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Baru-baru ini Tengku Razaleigh dilaporkan melabel PAS sebagai ‘pelacur’ dan menggesa Umno menewaskan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya PAS sering kali beralih sokongan antara DAP dan Semangat 46.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kenyataan Ku Li itu dianggap bercanggah dengan budaya harmoni dua parti tersebut yang menjalinkan MN sejak 2019.

“Saya menganggap kenyataan itu hanya mewakili peribadinya dan bukan Umno. Saya difahamkan dia akan bertanding merebut jawatan Presiden Umno.

“Mungkin kenyataan itu untuk membina naratif dalam kalangan ahli Umno untuk menyokongnya. Tapi kalau dia sanggup buat kenyataan yang boleh cetuskan permusuhan antara dua parti ini, rasanya lebih baik tak perlu jadi penasihat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2021

- Advertisement -