Sektor pelancongan belum nampak tanda pemulihan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sektor pelancongan masih di tahap rendah berbanding sektor lain akibat penularan Covid-19, di mana sehingga sekarang belum ada tanda pemulihan yang memberangsangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, sudah tiba masanya sektor pelancongan diteliti dan dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Menurutnya, industri pelancongan paling teruk terkesan dan masih berada pada tahap lebih rendah berbanding sektor lain yang semakin pulih.

Sebagai contoh menurutnya, sektor pembuatan dan pertanian kini menampakkan tanda pemulihan.

- Advertisement -

“Ini terbukti apabila kemasukan pelancong pada 2019 melebihi 26.1 juta, tetapi pada tahun lalu hanya 4.3 juta sahaja. Ini menunjukkan penurunan 83.4 peratus.

“Saya rasa sudah tiba masanya kita siapkan kertas diketuai Menteri Pelancongan untuk dibentangkan kepada MTEN,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri pelancongan di sini semalam.

Mustapa juga berkata, pemain industri pelancongan dan pengusaha bas ekspres turut memohon diberikan pertimbangan termasuk moratorium bayaran balik pinjaman tanpa syarat.

Katanya, beliau akan cuba membawa cadangan itu kepada kementerian berkaitan bagi melihat secara terperinci penyelesaian boleh diambil terhadap sektor yang dianggap teruk terjejas.

“Pengusaha bas ekspres memaklumkan sekarang pihaknya hanya mampu menggerakkan 20 peratus daripada perkhidmatan mereka dan pada masa sama menanggung hutang sangat tinggi.

“Selain itu mereka juga memohon dilanjutkan tempoh maksimum penggunaan kenderaan iaitu daripada 10 tahun kepada 13 tahun,” katanya.

Beliau berharap kebenaran untuk rentas negeri bagi industri pelancongan memberi kelegaan kepada pemain industri. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -