PAS dan kalimah Allah

- Advertisement -

SEHARI dua ini timbul isu nama Allah. Kalut satu Malaysia. Paling menarik PAS juga yang jadi sasaran. Itulah harapan dan kepercayaan tinggi masyarakat kepada PAS khasnya berkait isu Islam. Kenapa tak ada yang bertanya mengenai PAN yang juga mendakwa parti Islam moderat? Mereka boleh mendakwa apa sahaja namun kepercayaan masyarakat mengenai Islam tertumpu kepada PAS.

Isu ini mesti dilihat dari kaca mata yang luas. Ia bukan isu hukum tetapi hukuman. Ia bukan baru tetapi telah berlarutan beberapa lama? PAS melalui Presidennya Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) telah menulis panjang. Tetapi biasalah, tak ramai yang rajin membaca. Mereka hanya mahu hukuman. Bukan ilmu dan perbahasan. Sebab itu saya takut untuk menulis panjang, namun topiknya memerlukan perbincangan yang agak panjang.

Isu pertama yang perlu difahami ialah ia berkait isu perundangan yang di putuskan mahkamah. Bukan Isu hukum tetapi hukuman. Negara kita mengamalkan pemisahan kuasa seperti termaktub Perlembagaan. Pemisahan kuasa antara Parlimen yang membentuk kerajaan dan membuat undang undang, pelaksanaan Undang-undang yang diputuskan melalui mahkamah dan peranan Raja Berperlembagaan. Kerajaan hanya ada kuasa melantik hakim. Silap lantikan… Padahlah hukuman. Isu ini adalah isu Undang-undang yang diputuskan mahkamah.

- Advertisement -

Mungkin ada yang masih selesa mengatur dan mengarahkan hakim di mahkamah sehingga terlupa kerajaan telah berubah. Kerajaan tiada kuasa atas mahkamah. Menentukan hukuman malah menentukan siapa didakwa atau tidak, biarlah ditentukan mahkamah. Jangan sesekali diatur oleh pemerintah. Itu antara pendirian PAS yang umum tahu.

Masalah berpunca dari undang-undang tinggalan penjajah. Ia perlu diubah. Untuk mengubah semangat dan roh Perlembagaan itu memerlukan kekuatan kuasa di Parlimen. Perlu lebih 2/3. Zaman keemasan itu telah berlalu. Ketika itu kita lalai dengan kuasa hingga tidak peduli kuasa Islam semakin terhakis. Saya tidak mahu mengungkit masa silam namun sejarah tak mampu dipadam. Maka jangan meludah ke langit lagi hari ini. Nanti kahak berlumur di muka.

Umat Islam masih ada ruang mengembalikan keemasan kuasa itu jika bersatu padu. Namun keangkuhan dan ketamakan seringkali menjadi senjata perpecahan. Selagi roh Perlembagaan tidak diubah oleh kuasa ummat Islam di Parlimen melalui kuasa 2/3, kita hanya mampu menahan sakit itu selamanya.

Kepada yang bertanya mengenai peranan PAS, suka saya kejutkan mereka dari tidur atau menyalakan cahaya jika masih menghuni gua, bahawa pendirian PAS adalah jelas. PAS konsisten bahawa dari segi ilmu ia diharuskan tetapi dari segi pelaksanaan ia dibimbangi berlaku penyalahgunaan. Maka tanggungjawab kerajaan di sudut menjaga maslahah adalah menyekat. Namun kini ia dibawa ke mahkamah dan diputuskan. Sekali lagi pengasingan kuasa mesti dibatasi.

Mereka mahu PAS menegur mahkamah barangkali. Namun apabila Tuan Guru Presiden mengulas isu kuasa negeri dalam isu Mahkamah Syariah Selangor yang diputuskan baru-baru ini, mereka muncul mengugut kononnya TGHH menghina mahkamah. Jelas, bukan kebenaran yang dicari tetapi manipulasi politik untuk kepentingan diri. 

Sebagai entiti kerajaan, PAS bersama seperti kenyataan yang dikeluarkan Muafakat Nasional dan kenyataan Menteri KDN. PAS bukan lagi pembangkang yang perlu berhimpun dan berdemonstrasi seperti pembangkang dulu. Kerja itu sepatutnya dilakukan oleh ‘parti Islam jelmaan DAP’.

Cukup dengan kenyataan mewakili kerajaan. Itu sifat perkongsian PAS yang diterjemahkan hasil perbincangan di meja rundingan kabinet dan kerajaan. Mudah untuk di fahamkan kecuali mereka yang matanya hilang cahaya dan otaknya bergelumang dengan kotoran kebencian.

Saya simpulkan, penggunaan kalimah Allah ini ditentang bukan kerana hakikat ilmunya namun penyalahgunaan yang dibimbangi. Walaupun mahkamah juga melarang salahguna namun ia sesuatu yang sukar, perlu ada halangan awal menutup keburukan Saddu zara’. Kita bincang nanti apa mampu kita buat? 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -