Iktibar Malayan Union dan kenegaraan kita

- Advertisement -

DALAM sejarah perkembangan Perlembagaan di negara kita, telah berlaku satu peristiwa yang menguji kesetiaan penduduk dan mereka yang mendiami Tanah Melayu kepada watan tanah air ini. Peristiwa bersejarah itu ialah pengenalan Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946.

Gabenor dan sistem Kerajaan Persekutuan yang dikuatkuasakan melalui Malayan Union Order in Council, 1946, bermatlamatkan sebuah kerajaan interim. Malayan Union tidak bertujuan untuk menjajah Tanah Melayu kerana British komited dengan Piagam Atlantik 1945.

Tujuan British ialah untuk memimpin perkembangan Perlembagaan yang akan memberikan hak sama rata kepada rakyat Raja Melayu sebagai bangsa asal dengan rakyat British yang mendiami Negeri-negeri Selat dan kaum migran di Tanah Melayu. 

- Advertisement -

British dilihat cuba untuk menghakis sistem politik tradisional yang menetapkan kedaulatan Tanah Melayu pada Raja-raja Melayu kepada prinsip baharu iaitu kedaulatan pada rakyat pelbagai keturunan yang akhirnya menjadikan Raja-raja Melayu berkedudukan seperti Raja England dalam kerangka Westminster.

Jika orang Melayu dan Raja-raja Melayu tidak bertindak tegas lagi berani untuk menentang Malayan Union, nescaya sistem politik Tanah Melayu akan terdedah seperti berikut:

Jawatan Gabenor akan diambil alih oleh seorang Raja. Dari sisi lain tidak mustahil seorang pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat akan menjadi ketua utama Persekutuan, manakala hanya Kerajaan-kerajaan Negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja di atas nasihat pemimpin yang dipilih oleh rakyat.

Kuasa Pusat menjadi terlalu luas dan Raja-raja hanya bersifat simbolik sebagai ketua agama malah ajaran Islam dalam kerangka undang-undang hanyalah aspek ‘Muslim Personal Law’ sahaja.

Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia menjadi union, yang menonjolkan identiti sebuah negara tunggal, bukanlah Persekutuan seperti hari ini.

Kedudukan Islam sebagai prinsip kedaulatan Tanah Melayu dan hak orang Islam untuk mengamalkan kebebasan beragama akan tercabar kerana ruang prerogatif Raja-raja telah disempitkan.

Tiada hak keistimewaan bangsa asal malah kepentingan sah kaum-kaum yang mendiami Tanah Melayu juga tercabar akibat percaturan ahli politik yang mungkin tunduk kepada desakan pihak minoriti dan Antarabangsa.

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termasuklah tulisan Jawi akan terancam apabila layanan yang sama rata diberikan kepada semua etnik yang baru diterima masuk sebagai warganegara. 

Orang Melayu yang juga merupakan penganut agama Islam dapat menjangkakan implikasi buruk akibat daripada pengenalan Malayan Union.

Justeru, sistem Kerajaan Pusat yang diperkenalkan melalui Malayan Union ditentang secara besar-besaran di seluruh Tanah Melayu, hinggakan orang Melayu bersedia untuk menumpahkan darah berjuang bagi mempertahankan watan Tanah Melayu, iaitu Islam, institusi raja, bahasa dan kedudukan orang Melayu.

Untuk menenangkan penentangan Raja-raja dan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union maka sebuah Kerajaan interim berbentuk Persekutuan ditubuhkan dengan perkenan Raja-raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-pembesar Memerintah) melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 21 Januari 1948. Kerajaan interim bagi Persekutuan Tanah Melayu berlangsung bagi tempoh 1948-1957. Sistem Persekutuan ini lebih menjamin prinsip kedaulatan sedia ada di Tanah Melayu kerana undang-undang tubuh kerajaan-kerajaan negeri terus dikekalkan malah digubal dalam bentuk moden. Di samping itu kedaulatan raja-raja diakui terus terpelihara bersama-sama unsur-unsur watan yang lain.

 Hasil daripada perjuangan watan rakyat dan kebijaksanaan Raja-raja maka sistem politik tradisional Melayu dapat dilestarikan dengan penyesuaian yang perlu seperti terkandung dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957.

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi Malaysia yang menjadi testimoni kelestarian Islam sebagai prinsip kedaulatan negara dan kedudukan adat Melayu yang terpelihara di samping penerimaan adat anak-anak Negeri dalam kerangka undang-undang. Dalam kerangka adat Melayu itulah tertegaknya sistem beraja dalam pemerintahan di Tanah Melayu sejak zaman berzaman.

Sejarah membuktikan bahawa dalam kesopanan dan ketatasusilaan orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat Malaysia, ada batasan toleransi seperti berlaku dalam peristiwa penentangan terhadap Malayan Union.

Setelah 64 tahun merdeka daripada campur tangan British, ternyata toleransi yang diberikan kepada pegangan watan tidak membuahkan hasil yang baik dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Polisi Liberal oleh kerajaan lebih mengundang kepada malapetaka, sehingga tercetus Peristiwa 13 Mei 1969. 

Tidak seperti Indonesia dan Thailand yang menguatkuasakan polisi asimilasi watan kelihatan lebih berjaya membina negara bangsa masing-masing. Iktibarnya, asimilasi setiap warganegara Malaysia pada watan tanah air tidak boleh diabaikan lagi jika keharmonian antara kaum dan kesentosaan negara ingin dipupuk. Asimilasi yang dituntut di sini ialah penuburan Bahasa Melayu dan tulisan jawi sebagai jati diri melepasi perbezaan etnik di samping akomodasi dengan adat tempatan.

Peristiwa berdarah 13 Mei akhirnya mencetuskan Rukun Negara sebagai ideologi Kebangsaan yang mendukung sistem Perlembagaan Persekutuan. Mereka yang mengaku warganegara dan bangsa Malaysia wajib percaya kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan negara, kedaulatan undang-undang, keluhuran Perlembagaan serta kesopanan dan kesusilaan. Mereka yang menumpahkan kesetiaan kepada prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan merupakan anak watan Malaysia tanpa dibatasi dengan anutan agama, keturunan dan pangkat kedudukan.

Malangnya, sejak 10 tahun kebelakangan ini berlaku insiden di mana hampir semua unsur watan dicabar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mutakhir ini kelihatan seolah-olah ada gerakan terancang untuk mencabul kemuliaan agama dan amalan ajaran Islam. Semua pihak perlu akur bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan hak beragama bagi orang Islam mempunyai ketertinggian yang dijamin secara sah oleh Perlembagaan Persekutuan. Di samping itu Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama selain Islam selagi amalan itu tidak menjejaskan prinsip moral, kesihatan awam dan ketenteraman awam di dalam Negeri serta mendakyah orang Islam.

Prinsip Kenegaraan Persekutuan Tanah Melayu seperti dijelaskan di atas merupakan struktur asas kepada Malaysia yang tidak lahir tanpa asas dan pegangan kukuh. Prinsip itu terpasak dalam jiwa dan sanubari yang membina sensitiviti anak watan. Api yang sungguhpun kecil tetapi jika dipercikkan pada gunung sekam yang kering ketika cuaca panas boleh mengundang musibah besar. Ingatlah pesanan orang-orang tua, ‘jangan suka bermain dengan api kelak binasa’.

Aktiviti yang mengganggu gugat unsur-unsur watan tanah air ini perlu dihentikan segera. Pihak yang terus menerus mencabar nilai-nilai dan tatacara hidup atau adat di Malaysia perlu dikenakan tindakan tegas. Pencabulan kepada nilai-nilai watan seperti terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dianggap sebagai musuh kepada kesejahteraan hidup setiap anak watan.

Kerajaan perlu bertegas serta berpihak kepada kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan, bukan pada bayang sokongan semasa pilihan raya. Kerajaan yang menguatkuasakan undang-undang dengan penuh keadilan berlandaskan prinsip undang-undang tidak perlu gusar dengan sokongan kerana majoriti rakyat Malaysia masih berpegang pada watan tanah air ini. Anak watan akan bersatu padu mendukung Kerajaan yang memelihara kewatanannya.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 15/3/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -