Bekalan telur cukup, jangan buat pembelian panik

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA BERANG: Kerajaan memberi jaminan bekalan telur mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai termasuk menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri susulan penarikan balik telur keluaran sebuah ladang di Jeram, Selangor kerana dicemari bakteria Salmonella Enteriditis (SE).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata isu penarikan balik bekalan telur yang dieksport ke Singapura oleh pengeluar itu tidak menjejaskan bekalan telur domestik setakat ini.

Katanya, syarikat terbabit dalam isu ini memberi jaminan bekalan telur ayam tidak terjejas kerana produk yang dikesan mempunyai bakteria tersebut hanya melibatkan satu ladang sahaja dan masih terdapat lima ladang lain untuk bekalan pasaran tempatan.

- Advertisement -

Beliau berkata terdapat 50 syarikat pengeluar telur ayam terbesar di Malaysia termasuk syarikat tersebut dan bekalan di pasaran mencukupi menjelang musim perayaan nanti.

“Jadi pengguna tidak perlu bimbang atau melakukan pembelian telur secara panik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jualan kedai runcit bergerak, Prihatin Mart, di pekarangan Masjid Al-Amin, Kampung Buluh, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan rekod, secara keseluruhan pengeluaran telur ayam di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 7 Mac lalu adalah sebanyak 206 juta biji dengan baki semasa yang belum lagi dijual ialah 69 juta biji.

Dalam pada itu, Rosol mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga telur susulan isu tersebut dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan itu.

Kelmarin, empat pengimport di Singapura telah diarahkan untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan oleh syariklat terbabit berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak. – BERNAMA

- Advertisement -