Polis Marin kesan penyeludup daun ketum

- Advertisement -

KANGAR: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Perlis akan membuat risikan bagi mengesan pemain dalam industri penyeludupan daun ketum dari semasa ke semasa.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu ACP Rosman Ismail berkata, pihaknya membuat risikan dan membina maklumat bagi mengesan pihak yang terlibat dalam penyeludupan daun ketum.

Katanya juga PPM bersama Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Kuala Perlis awal pagi tadi menemui 40 bungkusan hitam berisi daun hijau disyaki daun ketum seberat lebih kurang 400 kilogram ketika rondaan Op Benteng.

- Advertisement -

“Penemuan kira-kira jam 3.30 pagi itu walau bagaimanapun tidak berjaya menemui suspek yang terlibat.

“Semasa dalam rondaan di kawasan Persisiran Pantai Kurung Tengar, pasukan operasi ternampak longgokan beberapa bungkusan plastik hitam dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

“Hasil intipan yang dilakukan di kawasan tersebut selama lebih kurang satu jam mendapati tiada siapa yang menghampiri longgokan bungkusan plastik tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya kesemua rampasan akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya.

Rosman berkata, pasukan operasi merampas kesemua bungkusan tersebut dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kangar untuk tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -