MOT bantu Terengganu tingkat rangkaian pengangkutan

- Advertisement -

SAYA telah mengadakan pertemuan bersama dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong di Kementerian Pengangkutan semalam. Saya berterima kasih atas layanan mesra beliau dalam kunjungan saya ke pejabatnya itu.

Hadir sama dalam pertemuan ini, Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kapt. Mohamad Halim Bin Ahmed dan Ketua Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Encik Saabi bin Wahab.

Dalam pertemuan ini, kami membincangkan beberapa perkara dan cadangan yang akan dilaksanakan demi merancakkan semula pertumbuhan ekonomi khususnya di negeri Terengganu. Pertemuan membincangkan kemajuan teknologi pengangkutan dan kepentingannya dalam menjayakan wawasan kemakmuran bersama.

- Advertisement -

Saya turut menjelaskan mengenai pelan perancangan daripada pihak Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn. Bhd (KPK) dan Epic Berhad ke arah pemulihan semula industri pengangkutan serta logistik pasca pandemik COVID-19. Di kesempatan sama, selaku Pengerusi Konsortium Pelabuhan Kemaman, saya membentangkan kepentingan dipertingkatkan peranan Pelabuhan Kemaman sebagai pintu masuk perdagangan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Alhamdulillah, respon yang positif telah diberikan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong di mana beliau turut menjelaskan mengenai jaringan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang pastinya akan membawa impak positif kepada negeri-negeri di Pantai Timur apabila ianya siap nanti.

Terima kasih Datuk Seri atas penjelasan yang sungguh penting mengenai penjajaran ECRL khususnya dalam menambah nilai terhadap pelaburan yang besar itu dalam memangkin pembangunan khususnya di Pantai Timur Semenanjung.

Sekalipun sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, saya terpaksa menelan hakikat ‘Stesen Kuala Terengganu’ akan berada di Durian Guling di Parlimen Marang, sekitar 20 kilometer dari Kuala Terengganu kerana itu pilihan yang telah dibuat, saya telah meminta rangkaian pengangkutan untuk memudahkan akses ke stesen berkenaan dirancang segera. 

Terima kasih saya ucapkan di atas sokongan pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia mengenai perancangan yang telah dibuat oleh KPK Sdn Bhd dan Epic Berhad dalam usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

DATO’ HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Pengerusi Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -