Israk Mikraj: Kisah Nabi realistik, ikutan buat umat

- Advertisement -

NABI S.A.W dibangkitkan untuk menyelamatkan umat dari kesesatan, mendidik umat agar mentauhidkan Allah dan Baginda diutuskan sebagai contoh ikutan terbaik buat umat. Tuntutan ini bukan suatu perkara yang mustahil dicapai, tetapi datang dengan rukhsah dan realistik untuk dicapai.

Ajaran Islam dalam persoalan hubungan antara Nabi dan umatnya adalah sebagai qudwah hasanah, ikutan yang baik. Bermakna Baginda adalah hamba dan pesuruh Allah, kehidupan Baginda adalah contoh yang mampu diikuti umat. Berbeza dengan ajaran lain yang menganggap sesetengah tokoh sebagai dewa yang dimuliakan melebihi kedudukan manusia lain hingga tidak mampu diikuti.

- Advertisement -

Allah S.W.T berfirman: 

وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالأغْلالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ

“Dan Baginda Nabi membuang dari mereka (umat manusia) beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.”

(al-A’raf: 157)

Ayat ini menerangkan kedatangan Nabi yang penuh rahmat membawa kemudahan dan toleransi, seperti yang disebutkan di dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan melalui berbagai jalur dari Rasulullah S.A.W, bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ

“Aku diutus dengan membawa agama yang hanif lagi penuh toleransi.”

Baginda seorang Rasul yang sangat prihatin, kesulitan dan penderitaan yang menimpa umat adalah sesuatu yang berat buat Baginda. Demikian sifat Baginda seperti yang dinyatakan dalam al-Quran:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul dari kaum kalian sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kalian, sangat menginginkan (keamanan dan keselamatan) bagi kalian, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.”

(At-Taubah: 128)

Pensyariatan yang realistik 

Berdasarkan sirah interaksi Baginda sesama Sahabat R.A, khutbah pesanan yang Baginda tinggalkan buat umat, jelas tergambar betapa Baginda seorang yang realistik menilai kelemahan dan keterbatasan umat:

إِنَّ أُمَّتَكَ لَا تَسْتَطِيعُ خَمْسِينَ صَلَاةً كُلَّ يَوْمٍ وَإِنِّي وَاللَّهِ قَدْ جَرَّبْتُ النَّاسَ قَبْلَكَ وَعَالَجْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَشَدَّ الْمُعَالَجَةِ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ التَّخْفِيفَ لِأُمَّتِكَ

“Pulanglah pada Tuhanmu, sesungguhnya umatmu tidak mampu menunaikan solat sebanyak itu, aku (Musa A.S) telah berusaha menerapkannya pada Bani Israil, ternyata mereka tidak mampu.”

Kisah masyhur perihal permohanan pengurangan solat ketika peristiwa Mikraj Nabi S.A.W, daripada 50 waktu hingga 5 waktu bukan satu-satunya kisah yang memaparkan sifat realistik Nabi dalam pensyariatan ibadah.

Realistik: Berpada-pada dan rukhsah ibadah sunat

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah S.A.W pernah mengingkari perbuatan Abdullah bin Amru bin al-Aas yang meninggalkan rukhsah dalam ibadah sunat. Menurut Abdullah bin Amru, beliau pernah ditanya Rasulullah S.A.W:

“Wahai Abdullah, tidakkah aku dikhabarkan bahawa engkau berpuasa pada siang hari dan berqiyamullail pada malamnya?” 

Aku menjawab:

“Ya wahai Rasulullah.” 

Baginda lalu bersabda:

“Jangan engkau lakukannya. Berpuasa dan berbukalah. Qiyam dan tidurlah engkau. Sesungguhnya bagi tubuhmu ada hak, bagi matamu ada hak, bagi isterimu ada hak, bagi tetamu ada haknya. Cukuplah engkau berpuasa tiga hari pada setiap bulan, kerana engkau mendapat 10 kali ganda pahala bagi setiap satu kebaikan. Maka yang demikian itu (dengan berpuasa sebulan tiga hari), ibarat puasa sepanjang tahun.”

Aku berkata:

“Wahai Rasulullah, aku memiliki kekuatan untuk lebih dari itu.”

Baginda bersabda:

“Maka berpuasalah dengan puasa Nabi Daud A.S, dan jangan engkau tambah lagi.”

Aku bertanya:

“Bagaimanakah puasa Nabi Daud?”

Jawab Baginda:

“Berpuasa separuh tahun (berpuasa selang sehari).”

Ketika usia Abdullah bin Amru semakin lanjut, beliau berkata:

يا ليتني قبلت رخصة النبي.
“Alangkah indahnya kalau dahulu aku menerima keringanan rukhsah yang disarankan Nabi S.A.W.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada ketika yang lain, Rasulullah turut menegur perbuatan Saidatina Zainab yang berlebihan dalam ibadahnya. Menurut kisah yang diceritakan Anas bin Malik, suatu malam Rasulullah masuk dan terlihat sehelai kain yang merintangi bilik Zainab R.A. Baginda bertanya mengenai tali tersebut. Apabila diterangkan pada Baginda bahawa tali tersebut digunakan untuk mengelakkan Zainab terduduk ketika letih melaksanakan solat malam, Baginda menegah perbuatan tersebut lalu memerintahkan agar tali itu dileraikan. Sabda Baginda:

لا، حلوه. ليصل أحدكم نشاطه، فإذا فتر فليقعد.

“Solatlah kalian ketika bersemangat. Apabila kalian keletihan, maka tidurlah.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Realistik: Manusia tidak terlepas melakukan dosa

Nabi S.A.W mengakui dan mengingatkan umatnya akan realiti seorang manusia biasa. Setinggi manapun maqam takwa yang dicapai seseorang, dia tetap tidak akan mencapai tahap tidak melakukan dosa. Abu Hurairah R.A meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W perihal realiti tersebut:

والذي نفسي بيده لو لم تذنبوا لذهب الله بكم، ولجاء بقوم يذنبون فيستغفرون الله، فيغفر لهم.

“Demi Zat yang jiwaku dalam genggaman-Nya, kalaulah kalian tidak berdosa, pasti Allah akan menghapuskan kalian. Lalu Allah menggantikan kalian dengan satu kaum yang berdosa kemudian mereka memohon ampunan Allah. Lalu Allah pun mengampuni mereka.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Realistik: Interaksi sosial

Rasulullah S.A.W sebagai manusia biasa juga diuji dengan urusan rumah tangga. Oleh itu, kita dapat mengambil iktibar dari asam garam rumah tangga Baginda. Kerana memahami tabiat wanita, adakala Baginda meninggalkan isteri Baginda sama ada kerana marah, berkecil hati atau ketika Baginda mengalami perubahan emosi sebagaimana manusia biasa yang lain.

Dalam hal ini, Saidina Umar R.A pernah menegur anaknya yang merupakan isteri Nabi agar mereka tidak terikut-ikut kebiasaan wanita Ansar ketika mereka kaum Quraisy menetap di Madinah. Dalam sebuah Hadis, Saidina Umar menceritakan kisah ini pada para Sahabat yang lain, bagaimana kisah tersebut bermula dengan beliau menegur isterinya yang banyak mempertikaikan beliau. Isterinya bertanya, mengapa beliau melarang perbuatan tersebut sedangkan isteri-isteri Nabi juga melakukan perkara sama terhadap Nabi? Lalu Saidina Umar keluar menemui Nabi S.A.W, dan beliau juga menegur anaknya Saidatina Hafsah R.A.

(Rujuk Hadis Riwayat Bukhari) 

Dalam kisah yang lain, Rasulullah S.A.W menunjukkan contoh realistik mendepani kisah rumah tangga anak Baginda, Saidatina Fatimah dan Saidina Ali.

Suatu hari Nabi pergi menziarahi rumah anaknya, tetapi Baginda tidak nampak Saidina Ali di rumah. Baginda bertanya ke mana sepupu Baginda pergi. Fatimah menjawab, ada sesuatu yang berlaku antara Fatimah dan suaminya Saidina Ali, hingga menimbulkan kemarahan Saidina Ali. Saidina Ali keluar meninggalkan rumah. 

Rasulullah pun keluar dan bertanya pada orang sekeliling yang ditemui jika mereka ternampak Saidina Ali R.A. Apabila diberitahu bahawa Saidina Ali sedang berbaring di masjid, Baginda masuk menemuinya. Saidina Ali yang mengiring, dengan rida’ selendangnya terjatuh dari bahunya, tanah mengenai wajahnya. Lalu Rasulullah menyapu pasir tersebut bersabda:

قم يا ابا تراب، قم يا ابا تراب.

“Bangunlah wahai Abu Turab, bangunlah wahai Abu Turab (turab : tanah).”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Lihat pada sikap Nabi yang tidak menyebelahi puterinya mahupun sepupu rapatnya. Baginda memahami asam garam kehidupan rumah tangga. Maka Baginda tidak mengasari salah seorang, atau berlebih-lebihan meleteri satu pihak. Baginda hanya datang menjenguk Saidina Ali secara bersahaja. Begitulah cool dan realistiknya Nabi kita S.A.W.

Realistik: Memperbetulkan stigma masyarakat terhadap penjenayah 

Jika disoroti kisah dan sirah Baginda S.A.W khususnya muamalah Baginda bersama para Sahabat R.A, terlalu banyak ibrah betapa Baginda telah meninggalkan teladan yang baik dan Baginda sangat memahami umat.

Mengikuti akhlak Nabi akan menjadikan kita manusia yang berempati dan tidak menyebabkan manusia lain berputus asa dari rahmat Allah S.W.T.

Sedangkan menghukum peminum arak pun Baginda menegah agar penjenayah tersebut tidak dicerca dan dimaki, cukuplah dihukum sesuai dengan arahan Baginda sahaja. Sama ada dipukul dengan tangan, selipar, kasut ataupun baju. Ketika seseorang memaki dengan berkata, “Semoga Allah menghinakanmu”, Nabi bersabda:

 لا تقولوا هكذا، لا تعينوا عليه الشيطان.

“Janganlah engkau ucapkan sedemikian, jangan engkau serahkannya kepada syaitan.”

(Hadis Riwayat Bukhari) 

Sekalipun terhadap penjenayah, Baginda berpesan agar para Sahabat bermuamalah dengan yang baik-baik sahaja.

SOFIA ALWANI ALI

P/s:
Di sebalik kisah Israk Mikraj, Allah pun tidak menafikan perasaan manusiawi pada Nabi. Baginda bersedih kehilangan insan tersayang, Allah menyusun perjalanan Israk untuk meringankan beban emosi Nabi. Perasaan Baginda diraikan dan dihormati. Allah menunjukkan kuasa-Nya, bukan menurunkan ayat memaksa Nabi melupakan kesedihan dan move on begitu sahaja. Ambillah pengajaran, bantulah manusia sekeliling kita. – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -