Keluarga mangsa lemas disantuni Muslimat PAS

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Seorang ibu melihat sendiri tangan yang terkapai-kapai meminta tolong ketika ombak melambung jasad anaknya sebanyak dua kali, sebelum tenggelam hilang dari pandangan mata.

“Saya berlari ke pantai dan masuk ke permukaan air untuk mendapatkan anak-anak saya, tetapi mereka telah tiada,” begitulah luah Noriah Daud, 47, ibu kepada dua mangsa lemas di Pantai Sungai Ular, di sini 23 Februari lalu.

Beliau bercerita kepada Ahli Jawatan Kuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota yang hadir mengunjunginya di kediaman keluarga itu di Kuarters Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Ular Kuantan, kelmarin dahulu. 

- Advertisement -

“Anak saya dah biasa mandi di situ, boleh dikatakan setiap hari memang di situlah tempat mereka bermain. Pada hari kejadian, hati saya tergerak untuk menemani mereka, sedangkan sebelum ini tidak begitu .

“Mereka mandi di tempat biasa, tempat yang tidak dalam. Hanya dalam beberapa minit saja, mungkin air pasang dengan tiba-tiba, maka berlakulah kejadian tu, saya tidak sempat nak bantu,” kata Noriah. 

Menurut beliau lagi, anaknya Najuwa Mohd Ariffin, 13, cuba untuk selamatkan adiknya, Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, yang sedang terkapai perlukan bantuan, tetapi akhirnya si kakak juga turut lemas. 

Mayat mangsa Najuwa bersama kawannya Fitrah Dhia Zahraa’ Zaidi, 9, ditemui di tempat kejadian pada petang tersebut, manakala mayat Mohd Fazrul yang dibawa ombak ke tengah laut ditemui pada keesokan hari. 

“Selama ini dengar anak orang lain, kali ini giliran kita, namun saya redha dengan ketentuan Allah,” dengan nada yang sayu, Noriah menutup bicara. 

Hasrat rombongan tersebut untuk turut menziarahi keluarga arwah Fitrah Dhia Zahraa’ bagaimanapun tidak kesampaian kerana dimaklumkan ibu bapa serta adik-beradiknya berada di luar kawasan. 

Pada hari kejadian, ADUN Beserah, Andansura Rabu segera ke lokasi bagi memantau operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pelbagai agensi serta mengambil maklum sebarang keperluan. 

Ketika dihubungi, Andansura menasihatkan agar anak-anak dapat mengelak daripada mandi laut ketika tiada penjaga bersama dam perlunya pengiring dewasa untuk mereka di bawah umur supaya mengelakkan kemalangan atau peristiwa yang sama berlaku. 

“Para ibu bapa diminta agar tidak membiarkan anak-anak untuk bersendirian, mesti ada teman dan mesti ada penjaga yang iring mereka.

“Apa yang berlaku kita amat kesal dan kita ucapkan takziah kepada semua keluarga yang terlibat dan kita kena terima ianya adalah ketentuan dari Allah S.W.T.

“Semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa,” kata beliau lagi.

Dalam ziarah tersebut, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota, Azmoni Mohamad mengucapkan takziah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa. 

Turut hadir juga adalah Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Ular, Sharifah Muda bersama Ahli Jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -