Inovasi baja MARDI tingkat pengeluaran padi

- Advertisement -

PASIR MAS: Produk inovasi hasil Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) iaitu baja RealStrong N Bio Booster dijangka mampu meningkatkan pengeluaran padi.

Sehingga sekarang penggunaan baja itu berjaya meningkatkan pengeluaran padi di dua jelapang padi utama KADA iaitu di Bendang Kutan dan PKJ Tumpat dengan pencapaian tertinggi sehingga 162 peratus.

Manakala di Sungai Besar, IADA Barat Laut Selangor pula meningkat 57.9 peratus.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, teknologi baja itu dibangunkan dengan kerjasama penyelidikan bersama All Cosmos Industries Sdn. Bhd.

- Advertisement -

Katanya, ia menggunakan strain bacillus subtillis dihasil menggunakan medium kos efektif, MARDI Growth Medium (MGM) dengan populasi mikrob sehingga 100 juta koloni permililiter iaitu melebihi piawaian baja bio antarabangsa.

Menurutnya populasi bakteria dalam produk daripada tarikh dikilangkan masih kekal sehingga 6 bulan iaitu 100 juta koloni per mililiter.

“Hasil kajian peningkatan skala, baja RealStrong N Bio Booster memberi kesan positif kepada sifat kimia tanah (pH, total N dan jumlah karbon) dan juga populasi mikroorganisma bermanfaat tanah.

“Baja bio RealStrong N Bio Booster mempengaruhi beberapa komponen hasil seperti jumlah panikel per meter persegi dan peratusan biji-bijian yang diisi,” katanya ketika merasmikan pelancaran baja Realstrong N Bio Booste di sini semalam.

Pelancaran baja tersebut diadakan di Bendang Lipan, Mukim Bayu Lalang dekat sini.

Selain itu katanya, MARDI mengkomersialkan baja bio berkenaan bersama dengan Syarikat Arif Efektif Sdn Bhd secara perlesenan selama lima tahun.

Beliau berkata, Baja bio RealStrong N Bio Booster dilantik sebagai pembekal baja bio dengan mikrob bermanfaat melalui Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) selama dua tahun.

Pembekalan di zon 3 yang melibatkan Johor, Melaka, N.Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Katanya, nilai perolehan tender yang berjumlah RM38 juta untuk 2 tahun serta pengaplikasian baja bio RealStrong N Bio Booster bagi kawasan seluas 52,000 hektar melibatkan 22,000 petani.

“Ini merupakan impak paling besar dan paling signifikan terhadap pemindahan teknologi MARDI kepada golongan sasar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -