Dijangkiti COVID-19 walaupun telah disuntik vaksin?

- Advertisement -

SEGELINTIR pihak hairan kenapa ada individu boleh positif selepas cucuk vaksin COVID-19? Soal mereka kenapa selepas bagi vaksin pun masih boleh dijangkiti oleh COVID-19? Kan vaksin itu sudah 100 peratus boleh mencegah dari dijangkiti? Terdapat beberapa kes di luar negara, doktor dan jururawat meninggal dunia dijangkiti COVID-19, pada hal telah pun diberi vaksin COVID kepada mereka. Jadi apa guna beri vaksin kalau masih lagi dijangkiti?

Bagi mereka yang tidak faham ilmu perubatan dan tidak memahami konsep bagaimana vaksin itu bertindak akan merasai hairan. Mereka keliru dan menyebarkan kekeliruan mereka itu di media sosial. Mereka membincangkan di dalam group sesama mereka yang juga sama-sama keliru. Muncul seorang dua berlagak hero dan ulas overconfident, tetapi masih juga salah dan keliru.

- Advertisement -

Cubalah baca dengan teliti dan lihat balik apakah yang dimaksudkan dengan efikasi dan keberkesanan semasa proses ujikaji klinikal setiap vaksin. Adakah syarikat pengeluar mendakwa bahawa vaksin yang mereka keluarkan itu 100 peratus boleh mencegah dari dijangkiti oleh wabak virus? Sudah tentu tidak.

Vaksin adalah salah satu daripada usaha kita sebaik mungkin bagi mencegah. Masih lagi berbaki berapa peratus yang setiap individu berisiko boleh dijangkiti oleh COVID-19. Penerima vaksin kena faham konsep ini. Risiko jangkitan sama ada tinggi atau rendah bergantung kepada jenis dan suasana yang mereka hadapi. Jika mereka berada di barisan hadapan, risikonya adalah lebih tinggi untuk dijangkiti oleh COVID-19. Vaksin adalah salah satu daripada kaedah untuk mencegah selain daripada mematuhi SOP.

Tidak ada doktor atas dunia ini yang akan memberi jaminan bahawa vaksin itu 100 peratus boleh melindungi dari dijangkiti penyakit yang ingin dicegah. Kajian klinikal pun menyatakan sedemikian. Penerima vaksin kemungkinan dijangkiti oleh COVID-19 masih wujud sebab keberkesanan setiap vaksin COVID-19 seperti berikut:

1. Vaksin Comirnaty: 95.1 peratus.
2. Vaksin AstraZeneca: 62 peratus – 90 peratus.
3. Vaksin Cansino: 65.7 peratus.
4. Vaksin Sinovac: 50.4 peratus – 91.25 peratus.
5. Vaksin Sputnik V: 91.6 peratus.

Malah ke semua vaksin lain dalam dunia ini pun tidak akan menjamin bahawa ianya 100 peratus. Tetapi mereka akan menyatakan satu jumlah yang agak tinggi keberkesanannya. Contohnya kalau kita pergi ke kedai buah untuk membeli limau Haji Dolah. Jika kita bertanya kepada jurujual adakah beliau menjamin bahawa limau Haji Dolah yang dijual selonggok itu semuanya manis? 

Kalau beliau menjawab dengan yakin bahawa 100 peratus selonggok limau Haji Dolah itu manis, bermakna dia telah menipu. Mana mungkin dia boleh memberi keyakinan sedemikian sedangkan dia tidak pun merasai limau Haji Dolah itu. Kecualilah beliau menjawab: Mengikut pengalaman beliau dan cakap-cakap orang yang telah pun membeli limau beliau itu majoritinya adalah manis. 

Kecualilah beliau menjawab: Mengikut pengalaman beliau dan kajian rawak orang yang telah pun membeli limau beliau itu, majoritinya adalah manis. Sebiji dua masam itu adalah di luar dari pengetahuan beliau. Mungkin ada masam, mungkin tidak ada masam. Inilah adab dan amanah seorang jurujual.

Kalau terdapat laporan yang mengatakan bahawa petugas kesihatan positif dan mati akibat COVID-19, walaupun telah divaksinkan – kita harus terima hakikat itu. Tidak perlu menafikannya. Siasatan wajib dilakukan. Apakah punca sebenar kematian tersebut.

Kemungkinan mati akibat dari jangkitan COVID-19 adalah tinggi. Bahkan kenyataan telah pun dibuat oleh syarikat pengeluar vaksin Comirnaty, selepas dos pertama dianggarkan 52 peratus immunogeniciti (pembentukan sistem pertahanan badan – antibodi). Manakala dos kedua akan meningkat 95 peratus. Walaupun setelah dos kedua kebarangkalian untuk dijangkiti oleh COVID-19 masih lagi boleh berlaku 5 peratus. 

Bergantung pula kepada risiko individu tersebut berkhidmat, imuniti kelompok (herd immunity) dalam masyarakat dan peratus penolakan vaksin dalam lokaliti terbabit. Persoalan lain pula timbul adakah positif ujian COVID-19 itu akibat dari vaksin? Jawapannya tidak. 

Positif ujian swab itu bukan dari virus yang berlegar di dalam badan (vaccine shedding) hasil dari cucuk vaksin. Vaksin COVID-19 bukannya dibentuk melalui virus hidup. Comirnaty adalah jenis mRNA, Cansino atau AstraZeneca atau Sputnik V adalah jenis Vector Viral manakala Sinovac jenis nyahaktif (inactivated). Semuanya tidak hidup dan penyebab kepada jangkitan. Positifnya dia itu datang dari dijangkiti. Samada jangkitan dalam komuniti ataupun berhubungan rapat dengan kes yang sudah positif.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 12/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -