Bersatu konsisten penting kekalkan kesatuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa konsisten bahawa yang penting adalah untuk mengekalkan kesatuan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Sehubungan itu, katanya rundingan untuk parti itu dan Umno berbincang tidak pernah tertutup, malah ia perlu berterusan bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan.

Beliau mengakui ada cabaran dari segi hubungan antara parti dan berharap agar setiap perdebatan tertumpu ke arah kebajikan rakyat dan negara, lapor Bernama.

“Kita kena bezakan antara parti politik dan kerajaan…dari aspek kerajaan boleh dikatakan setiap hari pemimpin Bersatu berjumpa dengan pemimpin Umno, PAS, MCA, MIC, yang ada dalam Perikatan Nasional (PN) kerana perbincangan urusan pentadbiran kerajaan sentiasa berjalan.

- Advertisement -

“Di peringkat parti, kami di Bersatu sentiasa konsisten bahawa yang penting adalah untuk kesatuan dikekalkan,” ujarnya.

Menurutnya, dalam mana-mana hubungan antara parti politik, perkara yang mencabar adalah di peringkat rundingan kerusi untuk pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

Menjawab pertanyaan sekiranya Umno membuat resolusi untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada perhimpunan agungnya, Wan Saiful berkata pada masa ini belum ada sebarang keputusan dibuat.

“Kita tunggulah sehingga Perhimpunan Agung Umno berjalan dan keputusan sebenar dicapai, baru kita fikirkan,” katanya.

Dalam pada itu, PAS cukup optimis dalam memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan dalam masa yang sama mempertahankan PN.

Naib Presidennya, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, sesiapa sahaja golongan yang boleh menerima tentang agenda perpaduan ummah demi kelangsungan orang-orang Islam dan juga Melayu, maka parti itu bersedia untuk bersama-sama dalam hal itu.

“Maka dengan itu PAS tetap berpendirian bahawa Bersatu dan juga Umno mesti kita berganding bahu, kita berusaha memastikan agar tidak berlakunya perpecahan dalam kalangan orang-orang Melayu terutama parti-parti Melayu, lebih-lebih lagi di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -