Tambahan kuota Haji bukti Malaysia diyakini

- Advertisement -

TAN Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri catat kejayaan buat negara dan petunjuk kesungguhannya bekerja untuk rakyat. Tambahan 10,000 tempat bagi kuota mengerjakan ibadah Haji kepada Malaysia adalah satu penghormatan buat negara. Pemberian itu ternyata istimewa kerana ketika ini Malaysia sudahpun memperoleh 31,600 kuota rasmi iaitu 0.1 peratus dari jumlah penduduk negara sebagaimana diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi.

Kurniaan oleh Khadimul Haramain al-Syarifain, Raja Salman Abdul Aziz dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman melalui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menunjukkan kepercayaan kepada Malaysia. Ia juga menjadi pengiktirafan kepada operasi pengurusan Haji dilaksanakan Malaysia.

- Advertisement -

Khususnya oleh pihak Lembaga Tabung Haji yang terbukti memberikan hospitaliti terbaik sebagaimana pujian dan penghargaan pernah diterima selama ini. Kurniaan tambahan besar kuota ini juga tentunya datang dari kesungguhan rundingan yang diadakan oleh Tan Sri Muhyiddin sempena lawatan kerja ke Arab Saudi.

Hal ini tentunya menjadi satu lagi catatan pencapaian Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin. Beliau ternyata berjaya dapat menyakinkan Kerajaan Arab Saudi dalam urusan yang sangat besar bagi umat Islam. Apatah lagi ketika dunia sedang terbatas dalam banyak perkara kesan pandemik COVID-19 ketika ini.

Diharap ianya akan mengukuhkan lagi hubungan dua negara serta diperluaskan kepada sektor lain juga demi kepentingan ummah. Semoga dengan kurniaan tersebut penghayatan ibadah dalam kalangan umat semakin meningkat dan dapat meraih keampunan serta limpahan keberkatan buat rakyat dan negara ini.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -