Covid-19: Tiga pejabat di Wisma Darul Iman tutup seminggu

Wisma Darul Iman.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tiga pejabat di Wisma Darul Iman di sini, ditutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 16 Mac susulan tiga kes positif Covid-19 dikesan di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.

Tiga pejabat itu ialah Pejabat Tanah dan Galian Terengganu di tingkat 11, Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri di tingkat 12 dan Pejabat Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu di tingkat 13 bangunan tersebut.

- Advertisement -

“Penutupan itu perlu dilakukan kerana terdapat tiga kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dr Nor Azimi berkata hasil siasatan mendapati kes positif berkenaan adalah hasil kontak rapat dengan petugas di tiga pejabat tersebut.

Penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit dan membolehkan proses disinfeksi serta sanitasi dijalankan bagi mengelak penularan, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -