Generasi muda Syria terjejas teruk selepas 10 tahun konflik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tatkala krisis di Syria memasuki dekad kedua, tinjauan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) mendedahkan mengenai pahit maung dan akibat buruk yang terpaksa ditanggung generasi muda negara itu.

Tinjauan itu membabitkan sejumlah 1,400 warga Syria berusia antara 18 hingga 25 tahun yang tinggal di Syria, Lubnan dan Jerman.

Dalam satu kenyataan dari Geneva pada Rabu, ICRC menyatakan generasi muda di ketiga-tiga negara itu bercerita mengenai anggota keluarga dan sahabat yang terpaksa berpisah, kesusahan dan tekanan ekonomi, cita-cita yang tidak kesampaian dan kesan psikologi mendalam akibat keganasan dan gangguan yang tidak berkesudahan.

- Advertisement -

“Ini adalah sedekad yang hilang dalam kemusnahan bagi semua warga Syria. Khususnya golongan muda, sepanjang 10 tahun dilalui dengan hilangnya orang tersayang, peluang dan impian masa depan.

“Tinjauan itu adalah satu gambaran suram mengenai generasi yang kehilangan zaman remaja dan dewasa mereka akibat konflik,” kata Ketua Pengarah ICRC Robert Mardini.

Sebanyak 47 peratus belia di Syria, menyatakan saudara terdekat atau rakan mereka terbunuh dalam konflik manakala 16 peratus lagi berkata sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapa mereka terkorban atau cedera parah.

Sementara itu 54 peratus responden terputus hubungan dengan keluarga dan saudara mara manakala 62 peratus terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan 57 peratus lagi hilang peluang pendidikan.

Menurut ICRC peluang ekonomi dan pekerjaan di kedudukan teratas dalam senarai yang diperlukan diikuti penjagaan kesihatan, pendidikan dan sokongan psikologi.

Dianggarkan 30 peratus golongan wanita di Syria paling teruk terjejas daripada segi ekonomi dengan langsung tidak mempunyai pendapatan untuk menyara keluarga mereka. Golongan muda Syria di Lubnan pula menyatakan bantuan kemanusiaan antara keperluan utama mereka.

Konflik turut menjejaskan kesihatan mental. Sejak 12 bulan lalu, 54 peratus belia di Syria mengalami gangguan tidur, kegelisahan (73 peratus), kemurungan (58 peratus), kesunyian (46 peratus), kecewa (62 peratus) dan tertekan (69 peratus).

Menurut belia Syria di ketiga-tiga negara, akses kepada sokongan psikologi satu daripada perkara yang sangat diperlukan.

Namun, kebanyakan responden optimis terhadap masa depan mereka.

Sama seperti keinginan generasi muda di seluruh dunia, harapan dan cita-cita mereka untuk dekad akan datang ialah dapat mengecapi keselamatan dan kestabilan, peluang mempunyai keluarga dan pekerjaan dengan gaji yang berpatutan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain yang mampu milik dan mudah diakses, serta berakhirnya pergolakan dan konflik. – BERNAMA

- Advertisement -