Olimpik Tokyo: Pemain perlu bangkit perbaiki prestasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berbaki kira-kira empat bulan menjelang Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan, pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu segera bangkit memperbaiki prestasi masing-masing, sekiranya berhasrat meraih pingat pada temasya sukan itu.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mereka tidak boleh mengambil masa begitu lama untuk berada di prestasi terbaik, dan perlu segera memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kena bangkit cepat, bagi (ketua jurulatih perseorangan lelaki) Hendrawan dan (ketua jurulatih beregu lelaki) Flandy Limpele, perlu melihat apakah kelemahan mereka. Contohnya Zii Jia perlu kembalikan elemen dalam 10 terbaik, manakala Aaron-Wooi Yik antara lima terbaik dunia.

- Advertisement -

“Tidak boleh mengambil masa lama, seperti untuk harapkan enam bulan lagi. Mereka terpaksa melihat bagaimana mereka nak kembali terbaik secepat mungkin tanpa tekanan, itu harapan kita,” kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini, hari ini.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Sementara itu, beliau berkata BAM berjaya mengetengahkan pemain pelapis pada kejohanan antarabangsa, dan hasilnya dapat dilihat pada Sukan SEA 2019 di Filipina, apabila skuad negara melakar sejarah meraih tiga pingat emas buat kali pertama selepas tempoh 40 tahun.

Beliau berkata pihaknya juga memutuskan untuk membuat semakan semula pada bulan lepas, selepas tiga kejohanan di Thailand kerana hanya tinggal tiga tahun sebelum Sukan Olimpik Paris 2024, berikutan penangguhan edisi Tokyo selama setahun.

“Pastinya ada dalam kalangan pemain muda ini yang prestasinya tidak konsisten dan kita tidak perlu salahkan pemain, tetapi mereka perlu belajar dengan cepat. Saya harap peminat boleh memberi peluang kepada pemain-pemain muda ini, kerana merekalah masa depan kita,” jelasnya.

Pada Sukan SEA 2019, skuad badminton negara meraih pingat emas menerusi Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan pemain perseorangan wanita S. Kisona, selain turut membawa pulang dua perak dan lima gangsa. – BERNAMA

- Advertisement -