PAS buka keahlian, tapi syarat mesti Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan syarat menjadi ahli parti itu mestilah beragama Islam kerana ideologi yang dibawa PAS adalah Islam.

- Advertisement -

Menurut beliau, PAS sedia membuka pintu keahlian kepada semua bangsa dan kaum di Malaysia, asalkan agama yang dianuti adalah Islam.

“Ini biasa, nak jadi ahli Parti Komunis, mesti ada yang menganut ideologi komunis, kalau hendak menganut Umno, mesti menganut ideologi Umno. Hendak mengikut jadi ahli Demokrat, mesti menganut ideolgi demokrat.

“Kita tidak mengira kaum, bangsa, tetapi Islam adalah satu ideologi, sebab itu Islam tak boleh terima orang bukan islam, sebab ia satu ideologi. Hendak jadi ahli PAS mesti dia seorang Islam, dia perlu terima Islam secara menyeluruh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil Christian for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM), Jason Leong dalam Webinar Dialog Presiden PAS bersama NGO dan Youtuber Chinese di Harakah TV, hari ini.

Jason Leong meminta penjelasan mengapa PAS tidak menerima keahlian daripada kalangan bukan Islam.

Mengulas lanjut, kata Ahli Parlimen Marang itu berkata, walaupun PAS tidak menerima keahlian bukan Islam, Islam masih menerima bukan Islam sebagai ahlul zimmah, iaitu ahli bersekutu, ahli pendukung atau keahlian untuk hidup bersama yang wajib diberi jaminan keselamatan dan hak kepada masyarakat bukan Islam dalam sesebuah negara dan masyarakat.

Jelasnya, dalam sesebuah masyarakat atau negara yang mengamalkan konsep pemerintahan Islam, negara itu akan membahagikan ahlinya atau rakyatnya kepada dua, iaitu rakyat yang menganut Islam dan rakyat bukan Islam.

Namun, tambah beliau masyarakat bukan Islam mesti dihormati dan diberi hak kemanusiaan yang sama, malah, masyarakat Islam dilarang menyakiti masyarakat bukan Islam dan tidak boleh memaksa mereka melakukan perkara yang ditegah oleh agama mereka. – HARAKAHDAILY 9/3/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!