NAFAS mampu atasi masalah bekalan, harga benih padi

Foto daripada Facebook Che Abdullah Mat Nawi.
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yakin, pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk bertanggungjawab sepenuhnya bagi menjadi pemborong tunggal membekal terus benih padi kepada pesawah di seluruh negara, dapat mengatasi masalah bekalan serta kenaikan harga benih padi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, mekanisme itu juga akan dapat menyelesaikan masalah manipulasi dan eksploitasi dalam pembekalan benih padi sah, yang timbul dalam kalangan pesawah sejak kebelakangan ini.

“Masalah berkaitan benih padi ini berterusan sejak dahulu lagi dan kami di MAFI sekarang ini dalam fasa terakhir menyelesaikannya, iaitu dengan melantik NAFAS untuk membekal benih padi terus kepada pesawah bermula musim penanaman padi bulan ini.

“Langkah tersebut sebenarnya bagi memastikan pesawah mendapat bekalan benih padi yang berkualiti serta menyelesaikan isu harga benih padi yang didakwa dimonopoli pihak tertentu. Sekarang ini terdapat 11 syarikat yang membekalkan padi kepada pesawah,” katanya selepas lawatan kerja ke projek kebun bandar di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di sini hari ini.

- Advertisement -

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada pesawah-pesawah mengenai masalah benih padi yang tidak berkualiti, serta dijual pada harga tinggi oleh pengeluar padi dan juga berlaku monopoli benih padi daripada pengeluar tertentu, menyebabkan harga benih padi tidak dapat dikawal.

Che Abdullah berkata, pihaknya yakin NAFAS akan mampu membekalkan benih padi yang berkualiti serta pada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan, memandangkan ia mempunyai kecekapan rantaian pengedaran menerusi 148 pertubuhan peladang kawasan (PPK) di Semenanjung.

“NAFAS tidak ada kepentingan, perniagaan mereka juga adalah entiti berkaitan dengan agensi kerajaan, jadi mereka akan dapat laksanakan tugas (membekal padi) sebaiknya,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, permohonan bagi Projek Kebuniti di bawah Penjana Pertanian Bandar, telah mendapat sambutan yang menggalakkan di mana jumlah yang diterima sehingga sekarnaga ialah sebanyak 42,370 permohonan.

Katanya peruntukan Penjana sebanyak RM7.32 juta dibelanjakan bagi tahun lepas dan telah memberi manfaat kepada 13,524 orang dan 632 komuniti di seluruh negara.

“Bagi tahun ini kami memperuntukan sebanyak RM30 juta untuk projek kebun bandar yang boleh memberi manfaat kepada 27,524 individu dan 1,046 komuniti di seluruh negara.

“Matlamat projek itu adalah untuk menghasilkan tanaman untuk makanan sendiri serta hasil yang lebih daripada itu, boleh dijadikan peluang ekonomi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -