Rahmat Care bantu pelajar orang asal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sepuluh murid orang Asal Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Klang menerima bantuan berbentuk wang tunai RM100 sempena program Back To School Rahmat Care (BTSRC), semalam.

Seramai sepuluh murid dari Tahun 4, 5 dan 6 tersebut kesemuanya terdiri dari keluarga orang Asal Hulu Kemensah, Hulu Klang.

Menurut Pengerusi Rahmat Care, Ustaz Muhammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China, sumbangan tersebut diteruskan kepada sasaran-sasaran khususnya orang asal bagi membantu mereka mendapat pendidikan yang selayaknya selari dengan pelajar-pelajar biasa.

- Advertisement -

Ini supaya mereka tidak keciciran dan ketinggalan dalam pendidikan hari ini, ujarnya ketika ditemui Harakahdaily, semalam.

Rahmat Care merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusian yang memfokuskan pendidikan, kebajikan dan dakwah sebagai teras utama organisasi itu.

Sementara itu tambah beliau, kebanyakan orang-orang Asal Hulu Kemensah memerlukan pengangkutan harian untuk anak-anak mereka hadir ke sekolah pada setiap hari.

Hal ini kerana, bukan semua keluarga orang asal di situ mampu untuk menyediakan atau membayar kos pengangkutan bagi tujuan anak-anak mereka ke sekolah.

“Ada keluarga yang berhenti menghantar anak ke sekolah disebabkan tiada kemampuan untuk menanggung kos pengangkutan.

“Sebahagian dari mereka, pergi ke sekolah secara tidak konsisten. Ini adalah situasi yang membimbangkan. Kita risau sekiranya mereka tercicir dalam pelajaran disebabkan masalah itu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -