Pusat hapus kira hutang projek air luar bandar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pinjaman projek bekalan air luar bandar di Kedah yang berjumlah hampir RM699 juta dipersetujui dihapus kira Kerajaan Persekutuan.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu akan mengurangkan pinjaman bekalan air daripada RM1.82 bilion kepada RM1.12 bilion.

Katanya baki pinjaman tersebut akan diambilalih Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan pembayaran balik disusun semula melalui bayaran sewa pajakan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi tempoh jangka panjang.

“Inisiatif tersebut dapat meringankan beban negeri di samping membolehkan SADA membina asas kewangan yang baik ke arah kemapanan jangka masa panjang,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman semalam.

- Advertisement -

Sebelum itu beliau menyaksikan majlis menandatangani tiga perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kedah.

Tuan Ibrahim berkata, pelaksanaan skim tersebut bersifat jangka masa panjang di mana kemapanan kewangan operator air akan dicapai melalui pemulihan kos operasi sehingga mencapai pemulihan kos penuh.

“Kejayaan ini akan melonjakkan industri perkhidmatan air sebagai pemacu ekonomi negara dan pertumbuhan ekonomi bagi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya juga Kerajaan Persekutuan meluluskan dua projek bekalan air pinggiran sungai yang membolehkan takungan air dibuat pada musim hujan.

Kata beliau kerajaan pusat meluluskan dua projek bekalan air pinggiran sungai (taps) supaya pada musim hujan air dapat ditakung.

“Takungan ini dibuat di hilir, bukan empangan kalau empangan ia dibina hulu. Takungan dibuat berdekatan dengan loji supaya air dapat dirawat terus,” katanya.

Beliau juga berkata, projek bernilai RM1 bilion turut dilulus melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Sidam Kiri, Kuala Muda dan di Kodiang, Kubang Pasu.

Kos pembinaan LRA di Kuala Muda berjumlah RM450 juta dan dijangka siap pada 2027, manakala di Kodiang melibatkan kos RM550 juta.

“Nilai keseluruhan manfaat yang diperoleh kerajaan negeri menerusi penstrukturan ini melibatkan projek bernilai RM2.62 bilion,” ujarnya.

Perjanjian penstrukturan itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Ammar Shaikh Mahmood Naim.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali dan Pengarah Urusan SADA, Datuk Azmi Din.

Ia turut disaksikan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dan anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Suraya Yaakob. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -