Petisyen para peguam berkenaan implikasi kes Iki Putra

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH Dato’ Zainul Rijal, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Tuan Haji Musa Awang, Presiden Persatuan Peguam Sharie Malaysia (PGSM) bersetuju menjadi yang pertama menyokong petisyen ini bersama-sama saya. Saya memohon rakan-rakan peguam yang risau dengan implikasi kes Iki Putra dan bersetuju dengan petisyen di bawah untuk menyokongnya.

Untuk menggerak petisyen ini, saya meminta beberapa kawan-kawan membantu mendapat sokongan di negeri-negeri dan persatuan masing-masing. Mereka mungkin menggunakan pelbagai cara menghubungi tuan-tuan dan puan-puan di negeri-negeri masing-masing. Tuan-tuan dan puan-puan perlu berikan nama penuh, no ahli guaman atau practicing certificate number dan negeri amalan atau state bar kepada mereka. Saya harap dalam beberapa hari ia dapat mencapai tuan-puan. 

- Advertisement -

Saya juga menggerakkannya secara online. Sesiapa yang bersetuju, nyatakan di bawah atau di messenger saya, Edham Mohamad, Yusfarizal Yussoff, atau Sheikh Ikhzan nama penuh, practicing cer atau no ahli dan state bar atau negeri amalan. Kalau ada kemusykilan boleh direct messages saya. 

Terima Kasih saya ucapkan kepada mereka yang menyokong. Moga Allah merahmati semua. 

Petisyen peguam berkenaan implikasi kes Iki Putra

Kami peguam-peguam yang dinamakan di bawah, ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan Iki Putra v Kerajaan Negeri Selangor terhadap bidangkuasa Negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

Di dalam kes tersebut, Mahkamah telah sebulat suara menentukan bahawa, walaupun negeri mempunyai bidang kuasa luas untuk menggubal undang-undang Syariah mengikut ‘precepts of Islam’, tetapi bidang kuasa ini tertakluk kepada ‘preclusion clause’ (except in regard to matters included in the Federal law).

Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki telah menyempitkan lagi ruang bidang kuasa negeri yang diputuskan sebelum ini dalam keputusan kes Sulaiman Takrib dengan menolak ketetapan YAA Tun Abdul Hamid yang menyatakan negeri boleh menggubal Undang-undang Jenayah Syariah selagimana tiada “similar offences in the federal law and the impugned offences specifically cover muslims only and pertaining to Islam only”.

Mahkamah Persekutuan selanjutnya mentafsir ‘preclusion clause’ secara literal dan menyatakan negeri-negeri tidak boleh menggubal apa-apa Undang-undang Jenayah Syariah selagimana ia menyentuh apa-apa perkara dalam bidang kuasa Persekutuan. Butiran 4 Senarai I Jadual 9 menyatakan dengan jelas ‘Undang-undang Jenayah’ adalah bidang kuasa Persekutuan. Dan di dalam kes Iki Putra ‘Undang-undang Jenayah’ (criminal law) telah diberi maksud yang luas yang mana YAA Hakim besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed telah merujuk kepada takrif tradisional ‘criminal law’ iaitu ‘acts and omissions that are prohibited by penal provisions’. 

Mahkamah Persekutuan kemudiannya menekankan bahawa Undang-undang Jenayah Syariah adalah tetap tidak sah walaupun tiada Undang-undang Persekutuan wujud yang menyentuh atau bertindih dengan Undang-undang Syariah tersebut, selagimana ia menyentuh perkara ‘criminal law’. YAA Tan Sri Azahar menyatakan berkenaan kesalahan jenayah seksual:

“By that I mean, in practical terms, that even if the Parliament has yet to make a legislation with respect to an offence of sexual intercourse against the order of nature, still the state legislature is precluded from legislating on this subject.”

Dan juga Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan jenayah Islam tetap salah tidak kira bagaimana ia diungkapkan selagi mana isi kandungannya atau ‘pith and substance’ menyentuh perkara senarai Persekutuan yakni ‘Undang-undang Jenayah’ (criminal law). YAA Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun berkata:

“Learned counsel for the respondents submitted that section 28 of the 1995 Enactment is worded more broadly than the federal versions. In our view, that is wholly immaterial. What matters is whether, in pith and substance, section 28 of the 1995 Enactment relates to a matter which falls under the Federal List. In our judgment it does.”

Dari di atas jelas mahkamah sebulat suara, memutuskan:

(i) Walaupun Undang-undang Syariah menepati syarat ‘precepts of Islam’ butiran 1 senarai negeri, ia tetap terbatal sekiranya menyentuh perkara ‘criminal law’. ‘Preclusion clause prevails’.

(ii) ‘Criminal law’ mempunyai maksud yang luas.
(iii) Walaupun tidak wujud atau tiada apa-apa pertindihan dengan mana-mana Undang-undang Persekutuan, Undang-undang Jenayah Syariah tetap tidak sah jika menyentuh Perkara Senarai Persekutuan termasuk ‘Criminal Law’.

(iv) Apa-apa pindaan yang bakal dibuat dalam mana-mana peruntukan Enakmen Jenayah Syariah untuk mengatasi kes Iki Putra masih tetap tidak sah, jika ‘pith and substance’ atau isi kandungannya, menyentuh perkara ‘criminal law’.

Berdasarkan di atas, kami sebagai peguam amat bimbang setiap satu peruntukan Jenayah Syariah yang sedia ada di negeri-negeri seluruh Malaysia bakal dicabar dan dibatalkan atas alasan yang sama. Sekarang ini sudah dilaporkan ada kes baru mencabar keabsahan bidang kuasa Syariah. Kalau banyak kes mencabar berdasarkan alasan ‘preclusion clause’ dan berkeputusan memihakkan pencabar, ini sudah tentu akan melumpuhkan sistem jenayah Islam Negeri seluruh Malaysia.

Kami ambil maklum hujah tambahan Hakim Besar Malaya, YAA Tan Sri Azahar Mohamed kepada hujah Ketua Hakim Negara yang mengatakan bahawa negeri masih boleh menggubal berkenaan ‘religious offences’ yang terdiri dari 3 kategori kesalahan iaitu kesalahan terhadap akidah, moral dan kesucian agama dan institusi Islam. Tetapi pada kami hujah ini menimbulkan lebih banyak tandatanya, kerumitan dan komplikasi. 

Pertamanya, bukankah takrifan ‘religious offence’ serupa dengan ‘precept of Islam’ dan yang diperkatakan oleh YAA Tun Hamid di dalam kes Sulaiman Takrib? Kalau begitu bukankah ia tertakluk kepada preclusion clause juga akhirnya?

Kedua, komplikasi membezakan ‘religious offence’ dan ‘criminal law’. Kenapa zina adalah religious offence dan kesalahan liwat ‘criminal law’ di dalam hujah Tan Sri Azahar? Bukankah kesalahan liwat adalah Takzir dan kesalahan zina juga adalah ‘sexual offences’? Ia amat sukar dibezakan dan menimbulkan pelbagai pertikaian. Sama juga dengan ‘religious offences’ yang lain. 

Walau apa pun, yang jelas, ‘ratio decidendi’ atau alasan asas kes ini, adalah ‘preclusion clause’ mengatasi undang-undang jenayah yang digubal mengikut perintah agama Islam. Ini bakal membatalkan banyak lagi peruntukan Jenayah Syariah.

Lagipun pula, jika keputusan ini diikuti ia bakal membawa kepada ‘absurdity’ di mana tiada badan yang akan ada bidang kuasa untuk menggubal kesalahan jenayah Islam. Sebagai contoh perjudian yang jelas dinyatakan sebagai perkara di bawah ‘criminal law’. Kalau kita ikut kes Iki Putra ini, maka negeri-negeri tidak boleh menggubal undang-undang berkenaan perjudian dan hanya Persekutuan yang boleh. Tetapi Artikel 74 Perlembagaan menyatakan Persekutuan tiada hak menggubal apa-apa dalam Senarai Negeri. Butiran 1 Senarai Negeri jelas menyatakan hanya negeri yang ada kuasa menggubal kesalahan mengikut ‘precepts of Islam’ termasuklah berjudi. Kalau negeri tiada kuasa membuat undang-undang untuk menghalang umat Islam berjudi di negerinya dan Parlimen tiada hak membuat undang-undang kesalahan Islam di negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan, maka siapa yang ada bidang kuasa menggubal kesalahan ini? Ini adalah ‘absurd’.

Maka dengan itu, berdasarkan di atas, kami bukan sahaja khuatir implikasi kes ini akan terus melumpuhkan Undang-undang Jenayah Islam di seluruh negara tetapi ia bakal menghasilkan situasi ‘absurd’ di mana tiada badan yang ada bidang kuasa menggubal peruntukan jenayah Islam. Ini menggugat prinsip ‘duality’ undang-undang yang terpakai kepada umat Islam berkenaan kesalahan jenayah sejak dari sebelum merdeka lagi.

Oleh kerana kes ini menyentuh peruntukan Perlembagaan, maka pada pandangan kami, tiada penyelesaian yang ada kecuali Perlembagaan Persekutuan dipinda. Perlembagaan perlu dipinda sekurang-kurangnya kepada keadaan sebelum keputusan Iki Putra ini. Kami dengan ini memanggil pihak Eksekutif dan Legislatif untuk meminda perlembagaan dengan sesegera yang mungkin. 

Kami yang menyokong,

1. LUKMAN SHERIFF ALIAS
2. DATO’ ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
3. TUAN HAJI MUSA AWANG – HARAKAHDAILY 4/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -