Kita bersama MAIS dalam isu Iki Putra Mubarak

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyokong penuh kenyataan media oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung isu Iki Putra Mubarak apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kesalahan jenayah liwat (seks di luar tabii) yang terkandung di dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (EJS 1995) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut hanya membincangkan dari sudut keabsahan punca kuasa dalam penggubalan sesuatu hukuman menerusi bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri. Ia bukan menafikan liwat sebagai satu kesalahan jenayah (seks luar tabii) kerana ia masih tertakluk sebagai kesalahan jenayah di bawah bidang Undang-undang Jenayah Sivil (seksyen 377 Kanun Keseksaan). 

- Advertisement -

Amat pelik, kumpulan LGBT menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai sorakan kemenangan bagi pihak mereka, sedangkan bukan sahaja agama melarangnya, malah moral kita dalam masyarakat Malaysia tetap memandangkan satu kesalahan dan perkara yang jijik. Jelas ia bercanggah dalam prinsip Rukun Negara yang berkaitan kesopanan dan kesusilaan. 

Malah, Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dalam satu webinar anjuran Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) ketika mengupas soal ini menekankan aspek moral yang merupakan perkara besar. Maka liwat adalah kesalahan kerana jelas bertentangan dengan moral, cuma bezanya soal punca kuasa bagi bidang mahkamah sahaja yang berbeza antara Sivil dan Syariah mengikut peruntukan yang sedia ada. 

Dalam hal ini juga kita menyokong kenyataan tegas oleh Timbalan Menteri Agama, YB Ahmad Marzuk bahawa dalam isu ini jelas peranan dan usaha umat Islam serta pihak autoriti bukan sekadar mempertahankan bidang kuasa Mahkamah Syariah malah akan terus diperkasakan lagi bagi memartabatkan pelaksanaan perundangan Syariat Islam secara menyeluruh dari semasa ke semasa. 

Sangat biadab penyokong LGBT yang cuba memanipulasikan isu ini seakan mereka lupa asal-usul agama dan tempat mereka berada di negara ini yang jelas tidak pernah sesekali menyokong tindakan songsang yang keji dan jijik tersebut. Sebagai respons balas dalam isu ini, DPPNS telah membuat laporan polis semalam bagi diambil tindakan lanjut, malah digerakkan seluruh DPP Kawasan-kawasan untuk mengambil langkah yang sama. 

DPPNS menyatakan sokong penuh terhadap pendirian MAIS dalam isu ini terhadap akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan dalam masa yang sama tegas terhadap reaksi mengenai kesalahan jenayah liwat tetap merupakan satu kesalahan yang menyanggah larangan dari Allah S.W.T. 

“Memimpin Negara”
“Pemuda Bangkit Demi Islam”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -