Kes Iki Putra: Masalah ruang lingkup?

- Advertisement -

RAMAI telah beri pendapat. Ramai telah berdebat. Ada wacana akademik yang waras, ada juga ledakan emosi yang panas. Ia tanda masyarakat sukar menerima. Dari sudut undang-undang, saya telah nyatakan ia punya impak besar. Di sini saya ingin huraikan lebih terperinci:

Mahkamah Persekutuan (‘MP’) diberi peluang menilai definisi ‘Perintah Agama Islam’ (Precept of Islam). Ayat ini ada dalam Senarai Negeri, membolehkan DUN gubal ‘kesalahan bertentangan dengan Perintah Agama Islam’.

Definisi tersebut akan tentukan ruang lingkup kesalahan bagaimana boleh digubal undang-undangnya oleh DUN. Berdepan peluang itu, MP putuskan untuk terima definisi dalam kes terdahulu, kes Sulaiman Takrib (Ajaran Ayah Pin). 

Dalam kes Sulaiman Takrib, YAA Tun Hamid (Ketua Hakim Negara ketika itu) terima definisi yang diberi oleh 3 tokoh besar Islam di Malaysia (Tan Sri Sheikh Ghazali bin Hj Abdul Rahman, Professor Dr Mohd Kamal bin Hassan dan Professor Muhammad Hashim Kamali). Definisi Perintah Agama Islam yang diterima ialah ‘ia tidak terhad kepada 5 Rukun Islam semata-mata, bahkan termasuk juga undang-undang dan Syariah’.

Takrifan Perintah Agama Islam yang luas tersebut diterima oleh MP dalam kes Iki Putra. YAA Tengku Maimun menyatakan: ‘Thus, while we agree with the previous decisions of this Court which accorded the phrase ‘precepts of Islam’ the widest possible construction, we must also be mindful of the preclusion clause attached to the same entry’.

Asas pertama – definisi Perintah Agama Islam yang luas termasuk undang-undang dan Syariah diterima.Kemudiannya mengenai definisi ‘Criminal Law’. Saya telah nyatakan ‘Criminal Law’ ada dalam Senarai Persekutuan, yang bolehkan Parlimen gubal. 

- Advertisement -

Masalahnya, apa takrifan ‘Criminal Law’? Adakah ia semata-mata jenayah dalam Kanun Keseksaan? Adakah ia merangkumi jenayah dalam Akta-akta lain seperti AMLATFA (Penggubahan wang), SPRM (Rasuah), Akta Kualiti Alam Sekeliling, Akta Anti-Pencatutan, Akta Syarikat dan banyak lagi akta yang memperuntukkan pertuduhan di Mahkamah Jenayah, dan hukuman penjara, denda dan sebatan. Adakah pula ‘Criminal Law’ bermaksud sebarang kesalahan dengan hukuman keseksaan iaitu penjara dan sebat?

Apakah maksud ‘Criminal Law’ perlu difaham secara logik akal mengenai jenayah? Kalau jenayah yang jelas seperti membunuh dan merogol tidak mengapa. Bagaimana dengan jenayah ‘membela haiwan yang dilindungi’ misalnya. Tidak jelas kerana kita masih perlu tanya, haiwan ini masuk senarai dilindungi atau tidak?

Tiada definisi khusus diberikan untuk ‘Criminal Law’ dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri mahupun Kanun Keseksaan. MP juga tidak berikan definisi tersebut dengan jelas.

Asas kedua – tiada definisi ‘Criminal Law’ yang jelas. Pegang kedua-dua asas di atas dan teruskan bacaan. Masalah seterusnya, keputusan MP menyatakan bahawa DUN tidak boleh gubal undang-undang jika ia termasuk dalam Senarai Persekutuan. ‘Criminal Law’ yang tidak didefinisikan dengan jelas itu termasuk dalam Senarai Persekutuan.

MP tambah lagi, tidak boleh gubal tersebut, bukan hanya sekiranya sudah ada kesalahan ‘Criminal Law’ yang telah digubal oleh Parlimen, ia juga boleh bermaksud apa sahaja jenayah ‘Criminal Law’ yang boleh digubal tetapi masih belum digubal. 

MP nyatakan seperti ini: ‘Hence, we are of the view that it is untenable to take the position that the power of the State Legislature to make laws by virtue of the preclusion clause is limited to the federal laws that Parliament has not already enacted’.

Selajutnya, MP menegaskan: ‘It remains to be tested in every given case where the validity of a State law is questioned, for the Courts to first ascertain whether a law in question is within the jurisdiction of Parliament to enact and not necessarily whether there is already a federal law in existence such that the State-promulgated law is displaced’. Fokus pada ayat ‘whether a law in question is within the jurisdiction of Parliamen to enact’.

Saya bagi contoh begini. Perbuatan mencederakan diri seperti dilakukan sesetengah penganut Syiah adalah haram disisi Agama Islam. Dalam contoh rekaan ini, DUN pun guballah kesalahan ‘ritual cederakan diri’ sebagai kesalahan bertentangan Perintah Agama, dan jika sabit didenda RM3,000 atau penjara. Parlimen belum gubal undang-undang mengenai itu, tiada dalam Kanun Keseksaan atau Akta-Akta.

Penganut Syiah cabar undang-undang DUN tersebut. Mereka kata, bab jenayah membabitkan kecederaan ini adalah ‘Criminal Law’. Kita kata ‘siapa kata?’ dan ‘mana ada Undang-undang Parlimen tentang perkara itu?’. Dia jawab balik ‘walaupun belum ada Undang-undang Parlimen, ia tetap dalam definisi ‘Criminal Law’ yang boleh digubal oleh Parlimen di bawah tajuk mendatangkan kecederaan. Jadi kalau ikut kes Iki Putra, DUN tak boleh buat undang-undang itu. 

Nampak atau tidak dikotominya? Maksudnya, sebarang undang-undang yang digubal DUN selepas ini boleh dicabar atas alasan ia boleh termasuk dalam ruang lingkup ‘Criminal Law’ yang tidak didefinisikan dengan jelas tadi, walaupun ia belum digubal oleh Parlimen! Itulah masalahnya yang saya telah katakan dari awal.

Jadi kalau ada yang nyatakan bahawa kuasa DUN untuk membuat Undang-undang Jenayah Islam itu jadi seolah-oleh tersekat, itu betullah. Kerana definisi ‘Perintah Agama Islam’ yang diluaskan itu jadi seolah-olah tidak bermakna.

Masalah ketiga, ada pihak katakan, DUN masih boleh buat undang-undang berkaitan dengan akidah, kesucian institusi agama dan moral. Masalahnya, Parlimen juga buat undang-undang sebegini yang menyentuh agama atas nama ‘Criminal Law’ walaupun hakikatnya ia berkait dengan ‘Perintah Agama’.

Saya bawakan contoh Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, memperuntuk kesalahan jenayah melemparkan kata-kata menyebab ketersinggungan agama dan menyebabkan ketidakharmonian berkait agama (konteks semua agama). Jadi memandangkan Seksyen 298 telah ada, adakah nanti Mahkamah akan menerima kalau ada orang mencabar Enakmen Negeri yang menghukum kata-kata atau ajaran sesat yang menghina agama?

Contoh lagi, Seksyen 3, 4 dan 5 Akta Hasutan memperuntuk kesalahan menghasut berkaitan bangsa, kelas tertentu dan kedudukan dan keistimewaan tertentu. Adakah nanti kita nak terima cabaran terhadap Enakmen negeri yang menghukum kata-kata kesat terhadap Agama Islam, sebagai tidak sah, kerana ia boleh termasuk dalam hasutan terhadap Agama Persekutuan?

Contoh lagi ialah ‘Criminal Law’ berkaitan aktiviti penyundalan dan bapak ayam di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan. Dalam enakmen Syariah ia dipanggil Muncikari. Adakah Mahkamah selepas ini akan menyatakan peruntukan ‘muncikari’ juga tidak sah kerana ia boleh termasuk dalam ‘Criminal Law’, walaupun ia adalah bertentangan ‘Perintah Agama Islam’ berkait moral.

Nampaknya, Parlimen sendiri ada menggubal ‘Criminal Law’ berkaitan dengan ‘Perintah Agama Islam’. Bahkan MP sendiri bersetuju bahawa kesalahan liwat adalah bertentangan dengan ‘Perintah Agama Islam’ yang luas itu. Inilah yang saya katakan masalah ruang lingkup. Sebab itulah saya katakan definisi dan keputusan ini berbahaya. Ia boleh lebih mengelirukan dari menjelaskan.

Solusinya? Takrifan berharmoni sepertimana yang dinyatakan dalam kes Sulaiman Takrib itu lebih baik. Bahawa, kalau sudah ada dalam ‘Criminal Law’ Parlimen, maka DUN tak boleh gubal. Kalau belum ada, dan ia berkait dengan Perintah Agama, boleh gubal. 

Yang paling baik adalah melihat kepada matlamat, beban bukti, cara pembuktian dan bentuk hukuman sesuatu kesalahan dan bukan ‘pith and substance’ kepada kesalahan tersebut. Ya, seks luar tabi’i dan liwat adalah tindakan yang sama – tapi jauh berbeza dari segi beban bukti, cara pembuktian dan hukuman antara ‘Criminal Law’ Undang-undang Sivil, dan Enakmen Syariah yang ada dalam negara kita. Ia masih boleh ditegakkan bersama dan seiring satu dengan yang lain.

Pada analisa terakhirnya, saya berpandangan bahawa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan untuk mengharmonikan ‘Criminal Law’ dan definisi luas ‘Perintah Agama Islam’ tersebut. Ini masa untuk bertindak, bukan cakap-cakap dan berforum lagi. 

Wallahu’alam

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 2/3/2021

- Advertisement -