Doktor pakar, politikus, anti-vaksin, siapa fitnah siapa?

ALHAMDULILLAH saya baharu sahaja selesai menerima suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pagi tadi. Qatar mengutamakan suntikan vaksin kepada mereka yang terlibat dengan perusahaan petroleum, walaupun majoritinya adalah pekerja dari negara luar. Syukur juga yang saya tidak mengalami apa-apa kesan alahan yang teruk setakat ini. Tidak sakit langsung.

Saya pada mulanya tidak berhasrat untuk mengambil suntikan ini. Bukan kerana saya anti-vaksin atau pemuja apa-apa teori. Syarikat ada menawarkan suntikan vaksin percuma bagi selesema yang lain, SARS, MERS, tetapi saya rasa tiada keperluan mendesak untuk mengambilnya. Namun apabila dimaklumkan dengan vaksin COVID-19 ini saya berpeluang mendapat pelepasan kuarantin apabila pulang nanti, saya menukar fikiran.

Diberikan keutamaan menerima suntikan vaksin, maka, tiada isu saya memotong barisan. Saya terbaca baru-baru ini berkenaan tuduhan di media sosial, SUK Kelantan yang mengarahkan kira-kira 200 suntikan diberikan kepada golongan mereka dahulu. Sekali gus mengenepikan hak barisan hadapan negara kita. Siapa yang menularkan sangkaan itu?

Advertisement

Saya terkejut kerana salah seorang daripadanya ialah doktor pakar. Lebih mengejutkan dalilnya ialah kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Berganda terkejut saya apabila si pengadu itu yang dikatakan meminta tidak disiarkan namanya kerana takut dibuang kerja. Adakah SUK di bawah negeri, berkuasa bertindak atas kakitangan lain?

Amat menyedihkan dengan kebijaksanaan yang Allah kurniakan, doktor ini lebih suka mengikutkan berita yang tidak sahih yang dihantar kepadanya. Berbagai justifikasi bagi beliau mempertahankan tuduhan itu, namun, fitnah tetap fitnah. Pada akhirnya, masih tidak mahu mengaku kesalahannya, beliau sebaliknya mengangkat dirinya sebagai wira dengan mengatakan atas usaha netizen dan beliaulah yang menyebabkan VIP-VIP itu membatalkan hasrat mereka untuk memotong barisan.

Selang beberapa ketika, maka keluarlah kenyataan daripada Kerajaan Kelantan bahawa mereka menafikan dan akan membuat laporan polis berkenaan fakta yang boleh menjahanamkan reputasi Kerajaan Negeri. Dan semalam, mereka telah membuat laporan polis. Saya belum melihat kenyataan maaf daripada doktor itu. Yang menjadi persoalan ialah, siapakah beliau? Adakah beliau ditugaskan menerima laporan apa-apa lalu mesti menghebahkan kepada umum dahulu?

Jika betul sekalipun menjadi penerima aduan, adakah ini cara yang benar? Ada berbagai saluran yang betul yang boleh dilalui selain daripada cubaan memalukan pihak yang tertuduh di media sosial bila persepsi disebarkan. Lalu saya tertanya-tanya apa terjadi dengan sikapnya sebelum ini yang begitu tegas menyerang anti-vaksin dengan fakta-fakta, sedangkan beliau marah golongan anti-vaksin hanya menggunakan fakta media sosial atau membaca separuh masak sahaja.

Beliau bersikap benar ketika melawan golongan itu. Tetapi malang, beliau menuruti jalan anti-vaksin pula dalam menuduh Kerajaan Kelantan cuba memotong barisan dalam menerima suntikan vaksin. Amat memalukan. Apakah niat sebenar beliau? Cuba bermain politik? Pelik, menghadamkan maklumat dari media sosial dan menjadikannya maklumat sahih tanpa periksa. Biasanya doktor akan menjalankan kajian dahulu sebelum menerima apa-apa maklumat, bagi menjaga integriti. Tetapi tidak bagi hal ini.

Kerajaan Saudi telah menetapkan jamaah tidak dibenarkan mengerjakan haji dan umrah jika tidak divaksin. Ada kalangan anti-vaksin sering bercakap mengenai Dajal dan apa-apa sahaja teori berkenaannya, terkadang menuduh orang lain yang tidak mengikuti mereka, adalah pengikut Dajal. Sekarang dikatakan akhir zaman, Dajal tidak akan dapat memasuki Makkah dan Madinah. Lalu jika Hadis itu dikaitkan dengan anda yang tidak boleh masuk ke sana kerana tidak divaksin? Apa rasanya? Sakit hati bukan?

Begitulah fitnah adalah sesuatu yang dilarang kepada kita untuk mengejutkannya. Buatlah kerja anda dengan jujur, tanpa perlu memfitnah orang lain. Anda tidak mahu menerima suntikan, silakan, itu hak anda. Tetapi jangan pula dipaksa orang lain untuk mengikut anda dengan berbagai tohmahan dan fitnah. Biarkan orang lain dengan caranya. Apatah lagi majoriti ulamak ada bersama mereka. Sama juga dengan doktor pakar, jika nak main politik, silakan. Tapi jangan fitnah. Kita boleh hidup harmoni dengan cara baik bukan? 

Akhirnya kita melihat, Islam adalah tonggak kepada semua perkara. Tanpa Islam, semua orang dikira tidak bersalah kerana tiada neraca yang akan menimbangnya, semua akan kata merekalah yang benar. Ikutlah jalan Islam, nescaya anda akan selamat, walau seluruh manusia membenci anda. Semoga pihak berkuasa akan menyiasat fitnah yang dilemparkan kepada PAS itu dengan saksama. Tetapi tidak rasa pelikkah anda semua, asyik-asyik PAS sahaja yang kena fitnah?

MOHD NASIR ABDULLAH
4 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 4/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.