Kelas agama, akad nikah di masjid, surau dibenar di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bermula hari ini, semua aktiviti pengajian dan kelas agama di masjid dan surau seluruh Terengganu adalah dibenarkan, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda.

Beliau berkata, kebenaran itu diberi setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin serta pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu berhubung situasi semasa Covid-19 di negeri itu.

“Sultan Mizan telah menzahirkan kesyukuran atas perkembangan semasa dengan pengurangan kes positif Covid-19 di Terengganu dan penularan wabak dalam komuniti berada dalam situasi terkawal.

Advertisement

“Namun, baginda berharap semua pihak akan terus mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan kerajaan semasa melaksanakan semua aktiviti yang telah diberi kebenaran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain aktiviti pengajian dan kelas agama, majlis akad nikah di masjid dan surau juga turut dibenarkan dengan kapasiti tidak melebihi 20 orang. Malah, penggunaan ruang dewan solat utama dan kawasan masjid bagi aktiviti solat Jumaat juga adalah dibenarkan.

“Semua madrasah, pondok dan pusat tahfiz yang berada di bawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pula akan dibenarkan beroperasi mulai 8 Mac depan,” katanya.

Bagaimanapun, mana-mana masjid, surau dan pusat pengajian yang dikenakan arahan penutupan di bawah seksyen 18 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) adalah tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan. – BERNAMA