Arif Sabron bakal gempur Liga Itali

- Advertisement -

IPOH: Sekalipun bakal berdepan pemain Eropah yang rata-rata berfizikal lebih besar selain cabaran cuaca dan makanan, pemain hoki negara Arif Sabron tidak gentar, sebaliknya bertekad menunjukkan kemahirannya dalam liga utama hoki Itali, A1 yang akan bermula pertengahan bulan ini.

Anak jati Perak itu yang akan beraksi dengan kelab Butterfly Roma berkata, beliau ke negara tersebut dengan matlamat tersendiri dan akan memanfaatkan segala pengalamannya untuk mencuri tumpuan di liga berkenaan.

“Bagi saya tidak perlu takut hanya sebab mereka berbadan besar dan lain-lain. Sesiapa datang saya langgar sahajalah,” kata pemain penyerang berusia 22 tahun itu pada sidang media bersempena kejayaannya menyertai kelab Eropah tersebut, di sini hari ini.

Pemain kelahiran Felda Gunung Besout, Sungkai itu turut berjanji akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara serta berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya bermain dengan kelab itu.

- Advertisement -

Arif akan bersama Butterfly Roma selama tiga bulan dari 15 Mac hingga 15 Jun.

Arif merupakan anak Perak yang kelima diberi peluang beraksi dalam sukan hoki di luar negara. Inisiatif itu dicetuskan oleh pemilik Hockademy Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin yang menggunakan hubungan baiknya dengan kelab di Itali untuk menghantar Arif ke negara berkenaan.

Sementara itu, Megat D. Shariman yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata kontrak Butterfly Roma turut meliputi bayaran elaun dan penginapan untuk Arif.

”Selepas pulang ke Malaysia nanti kita lihat jika ada tawaran daripada pasukan Roma kepadanya untuk kembali, tetapi saya cadang beliau mencuba beraksi di negara lain pula,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed pula berkata pemilihan Arif ke liga hoki Itali tersebut akan memanfaatkan Perak, khususnya pada Sukan Malaysia Johor 2022.

”Arif akan menyarung jersi negeri pada temasya itu. Diharapkan selepas ini akan ada lagi peluang kepada atlet Perak untuk bermain di liga negara Itali dan lain-lain,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -