Vaksin: Tindakan tegas pihak sebar fahaman salah

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menangani penyebaran serta penyalahgunaan laporan berita palsu berkenaan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Dato’ Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap anti-vaksin yang cuba menyebar fahaman salah kepada masyarakat.

Katanya, kerajaan memandang serius perkara tersebut yang disebarkan pihak atau individu tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

Jelas beliau kerajaan melalui Ordinan Darurat memperuntukkan undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu dan pihak tidak bertanggungjawab menyebar berita palsu.

Enforcement pula seperti biasa kalau mana-mana pihak menimbulkan huru-hara dalam masyarakat yang boleh memberi ketidakselesaan memang kita ambil tindakan.

“Tindakan secara berterusan dan bukan sahaja mengenai ketidakpercayaan terhadap Covid-19 tetapi penyebaran berita palsu tentang perkara lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am Lubok Stol, Rantau Panjang di sini, hari ini. (Foto atas)

Turut hadir Ketua Polis Kelantan Dato’ Shafien Mamat serta Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Hassan Basri Ahmad Safar.

Dr Ismail juga berkata, lawatannya itu bagi memantau kesiapsiagaan pos dan operasi yang dijalankan disempadan Thailand-Malaysia terutama berkaitan isu penyeludupan.

Bagaimanapun katanya situasi di kawasan sempadan di Kelantan masih terkawal dan tiada timbul isu keselamatan.

“Kita juga mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negara jiran,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -