Tujuh kali masuk ICU akibat penyakit lelah

- Advertisement -

MACHANG: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah perumpamaan yang digambarkan ditanggung Siti Hasniah Yacob, 44, sejak lebih 10 tahun lalu.

Beliau mengidap masalah paru-paru dan lelah yang kronik. Malah semakin kronik sejak dua tahun lepas, di mana beliau tidak lagi dapat tidur malam.

Sebaliknya hanya terpaksa bersandar di kepala katil dengan beralaskan bantal. Malah pernah tujuh kali dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab ll Kota Bharu.

Sebelum ini beliau aktif mengusahakan nurseri bunga-bungaan di belakang rumahnya sebagai punca pendapatan keluarga.

- Advertisement -

“Kini projek kecilan itu diurus anak perempuan saya. Pada hari-hari tertentu pokok-pokok berkenaan dibawa ke pasar tani di sekitar Machang.

“Malah ada pelanggan yang datang ke rumah untuk membelinya,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpul Berlubang, Temangan baru-baru ini.

Siti Hasniah juga berkata, sejak beberapa bulan lepas beliau mula menggunakan mesin khas bagi membantu pernafasannya.

Mesin berkenaan dibeli di Kuala Lumpur dan dibayar secara ansuran sebanyak RM350 sebulan.

“Sejak menggunakan mesin berkenaan pernafasan saya semakin baik berbanding sebelum ini. Saya bersyukur kerana boleh berdiri biarpun tidak gagah untuk berjalan berikutan kakinya yang semakin sembab,” katanya.

Beliau ditemui ketika program ziarah Adun Temangan, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya juga wakil rakyat berkenaan sering datang bertanya khabar dan menghulur bantuan.

“Beberapa hari lepas penghulu datang membawa keperluan dapur untuk kami,” ujarnya.

Hasniah turut menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Anaknya juga turut menyalurkan bantuan sebanyak RM150 sebulan.

Semua urusan harian dibantu dua orang anaknya yang berusia antara 18 hingga 22 tahun. Manakala seorang lagi anaknya Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sementara itu Dr Fadzli berkata beliau akan membantu menyediakan paip bagi mendapatkan sumber air bawah tanah bagi kegunaan keluarga terbabit.

Pada lawatan itu Adun Temangan turut menyalurkan bantuan kewangan di samping barangan dapur. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -