Jalan Allah dan jalan syaitan

- Advertisement -

Terjemahan Hadis Sahih Ibnu Hibban

Berkata Imam Ibnu Hibban: Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. beliau berkata:

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا فَقَالَ: “هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ” ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ: “وَهَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ” ثُمَّ تَلَا {وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيماً} إلى آخر الآية

Ertinya: “Rasulullah SAW telah membuatkan bagi kami satu garisan lurus lalu bersabda: Inilah jalan Allah. Kemudian baginda membuat beberapa garisan pada kanan dan kiri garis yang lurus itu kemudian bersabda: Dan inilah jalan-jalan yang atas setiap satu daripadanya syaitan yang menyeru kepadanya. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat: Dan sungguhnya inilah jalanku yang lurus – hingga akhir ayat.”
Hadis ini dikeluarkan juga oleh Ahmad dan An-Nasaie dan Al-Hakim dan Ad-Darimi dan At-Thoyalisi dan lainnya.

- Advertisement -

Hadis ini datang pada menerangkan jalan yang benar iaitu dan jalan yang batil iaitu jalan syaitan.

Keterangan

Jalan Allah

Makna jalan Allah ialah agama Allah iaitu Islam maka selain dari agama Islam maka bukan ia jalan Allah.

Dan jalan Allah yang benar hanyalah yang mengikut akan petunjuk dari Al-Quran dan sunnah yang menerangkan dia oleh para ulamak iaitu beriktikad dengan iktikad yang benar dan beramal dengan amal yang soleh.

Siapa yang mengikut akan petunjuk dari Al-Quran dan sunnah yang dijelaskan oleh para ulamak maka dia telah berjalan pada jalan yang benar.

Berkata Imam Al-Mubarakfuri:

(هذا سبيل الله) أي هذا الدين القويم والصراط المستقيم، وهما الاعتقاد الحق والعمل الصالح

Ertinya: “Jalan Allah itu ertinya agama yang benar dan jalan yang lurus. Keduanya ialah iktikad yang benar dan amal yang soleh.” (Kitab Mir’atul Mafatih)

Berkata Imam Al-Baidhawi:

هو الرأي القويم والصراط المستقيم , وهما: الاعتقاد الحق والعمل الصالح , وذلك لا تتعدد أنحاؤه , ولا تختلف جهاته

Ertinya: “Pandangan yang teguh dan jalan yang lurus. Keduanya ialah iktikad yang benar dan amal soleh. Yang demikian itu tidak ada perpecahan dan tidak berlawan arah.” (Kitab Tuhfatul Abrar)

Contoh iktikad yang benar iaitu jika seorang itu beriktikad Allah menjadikan segala sesuatu dan Allah menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran maka dia telah beriktikad dengan iktikad yang benar dan dia berjalan di atas jalan yang lurus.

Contoh amal yang soleh ialah jika seorang itu menunaikan segala kewajipan syariat yang diwajipkan oleh Allah atasnya dan meninggalkan segala yang haram yang dilarang oleh Allah daripadanya maka dia telah beramal dengan amal yang soleh dan dia berjalan di atas jalan yang lurus.

Jalan syaitan

Segala iktikad bercanggah dari ikitkad yang benar dan segala amalan yang bukan dari amalan syariat Islam adalah jalan-jalan syaitan.

Tidak percaya kepada Tuhan atau menyembah tuhan yang lain daripada Allah adalah jalan-jalan syaitan.

Siapa yang berjalan di atas jalan syaitan maka tiada kentungan sama sekali baginya dalam kehidupan dunia mahu pun akhirat.

Tiadalah syaitan itu menyeru manusia kepada mengikutinya melainkan bertujuan supaya manusia itu sesat dari jalan Allah dan menjadi penemannya di neraka pada akhirat nanti.

Syaitan yang menyeru mansuia kepada kesesatan ini ialah syaitan jin dan syaitan manusia.

Berkata Imam Al-Mubarakfuri:

(سُبُلٌ) ، أَيْ: غَيْرُ سَبِيلِ اللَّهِ، أَوْ سَبِيلٌ لِلشَّيْطَانِ لِقَوْلِهِ (عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ) ، أَيْ: رَأْسِهِ (مِنْهَا) ، أَيْ: مِنَ السُّبُلِ (شَيْطَانٌ) : مِنَ الشَّيَاطِينِ (” يَدْعُو “) ذَلِكَ الشَّيْطَانُ النَّاسَ (إِلَيْهِ)

Ertinya: “Bermula makna segala jalan selain dari jalan Allah itu ialah jalan syaitan dan atas tiap-tiap jalan selain jalan Allah itu ada syaitan dari syaitan jin dan syaitan manusia yang menyeru akan manusia kepada mengikutnya.” (Kitab Syarah Misykah Al-masobih)

Selain agama Islam bukan jalan Allah

Allah Taalah telah berfirman:

وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Ertinya: “Dan jangan kamu sekalian mengikut akan jalan-jalan selain Islam nanti kamu sekalian akan terpisah dari jalan Islam.” (Al-An’am: 153)

Meriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim daripada Asbagh bin Al-Faraji berkata:

سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ قَالَ: نَهَاهُمْ أَنْ يَتَّبِعُوا السُّبُلَ سِوَى الإِسْلامِ، فَتَتَفَرَّقَ بِهِمْ عَنْ سَبِيلِهِ، عَنِ الإِسْلامِ

Ertinya: “Aku telah mendengar akan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam berkata: Allah Taala telah melarang mereka itu dari mengikut akan segala jalan selain agama Islam maka berpecah belah dengan sebab mereka itu dari jalan Allah yaitu agama Islam.”

Dan berkata Imam As-Samarqandi:

إن هذا الإسلام ديني الذي ارتضيته طريقاً مستقيما فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ يعني: لا تتبعوا اليهودية والنصرانية

Ertinya: “Inilah Islam agamaku yang diredhai Allah sebagai jalan yang lurus, maka ikutilah jalan ini dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain yakni jangan kamu sekalian mengikut akan agama yahudi dan nasara.”

Wajib mengikut jamaah

Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ افْتَرَقَتْ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَإِنَّ أُمَّتِي سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، كُلُّهَا فِي النَّارِ، إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ: الْجَمَاعَةُ

Ertinya: “Sungguhnya Bani Israel telah berpecah atas tujuh puluh satu golongan dan sungguhnya umatku lagi akan berpecah atas tujuh puluh dua golongan. Sekaliannya di dalam neraka kecuali satu golongan iaitulah Al-Jama’ah.” (Hadis riwayat Ahmad & Ibnu Majah)

Dan diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda:

تَفَرَّقَتْ الْيَهُوْدُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَالنَّصَارَىْ مِثْلَ ذَلِكَ وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً”.

Ertinya: “Telah berpecah yahudi atas tujuh puluh satu golongan dan berpecah nasara seumpama itu juga dan berpecah umatku atas tujuh puluh tiga golongan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. berkata:

أمر الله المؤمنين بالجماعة، ونهاهم عن الاختلاف والتفرقة، وأخبرهم أنه إنما هلك من كان قبلكم بالمراء والخصومات في دين الله

Ertinya: “Allah Taala telah menyuruh akan sekalian orang beriman dengan bersatu dalam jamaah dan melarang olih Allah akan mereka dari bersalahan dan bercerai-berai. Dan Allah memberitahu sungguhnya telah binasa umat yang sebelum kamu dengan sebab berbantahan dan berkelahi pada agama Allah.”

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

وأرشدت أيضا إلى وجوب الاتحاد بين المؤمنين والتلاقي بينهم على ما أمر الله به، والتحذير من الاختلاف والفرقة، واتباع غير سبيل الله، وأن الله أهلك الأمم السابقة بالمراء والخصومات

Ertinya: “Ayat Quran itu menunjukkan kepada wajibnya bersatu antara sekalian orang mukmin dan bersamaan antara mereka atas barang yang telah menyuruh oleh Allah dengannya dan memberi amaran dari bersalahan dan perpecahan dan dari mengikut jalan selain agama Allah dan sungguhnya telah membinasakan oleh Allah akan umat-umat yang dahulu dengan sebab mereka suka berbantah dan berkelahi.” (Kitab Tafsir Al-Munir)

Berkata Imam As-Samarqandi:

يعني: طريق السنة والجماعة فاتبعوه ولا تتبعوا السبل يعني: الأهواء المختلفة

Ertinya: “Yang dikehendaki oleh ayat ini dengan jalan Allah ialah jalan Ahlu Sunnah Wal-Jamaah maka ikutlah kamu sekalian akannya dan jangan kamu mengikut akan segala jalan-jalan hawa nafsu yang bersalahan.” (Tafsir As-Samarqandi)

Di antara golongan yang timbul yang menyalahi dengan pegangan Ahlu Sunnah ialah golongan jabbariyah, muktazilah, qadariah, syiah, khawarij dan mujassimah dan seumpamanya.

Berkata Imam Badaruddin Al-‘Aini:

الجماعة التي أمر الشارع بلزومها هي جماعة العلماء؛ لأن الله عزّ وجل جعلهم حجة على خلقه، وإليهم تفزع العامة في دينها، وهم تبع لها، وهم المعنيون بقوله: (إن الله لن يجمع أمتي على ضلالة)

Ertinya: “Bermula jamaah yang diwajibkan olih Allah mengikutinya ialah jamaah para ulamak kerana sungguhnya Allah Taala telah menjadikan para ulamak itu sebagai hujjah atas makhluknya dan kepada para ulamak itulah orang awam memelihara agamanya dan para ulamak itu adalah ikutan bagi umat dan para ulamaklah yang dimaksudkan oleh hadis: Sungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku atas kesesatan.” (Kitab Umdah Al-Qaari)

Wallahua’lam – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -