Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah

- Advertisement -

RAMAI yang sedih dengan keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan yang menetapkan bahawa peruntukan undang-undang berkaitan seks luar tabii dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor sebagai tidak sah. Alasannya adalah kerana undang-undang berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Rasa dukacita ini adalah, antaranya kerana skop Mahkamah Syari’ah dan bidang kuasa perundangan Islam seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan ditafsirkan secara sempit dan terhad. Ia mengecilkan skop kuasa Mahkamah Syariah.

Tulisan ringkas ini tidak bertujuan untuk mengulas aspek teknikal perundangan. Ulasan di sini lebih menjurus kepada kedudukan Undang-undang Islam dalam negara kita secara menyeluruh. Kita boleh menganggap apa yang berlaku ini sebagai satu cabaran yang menggugat Mahkamah Syariah, tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh dianggap sebagai pembuka peluang ke arah usaha pelaksanaan Undang-undang Islam dalam perspektif lebih menyeluruh.

- Advertisement -

Selama ini apabila bercakap soal pelaksanaan Undang-undang Islam, kita terlalu terikat kepada Undang-undang Islam di bawah bidang kuasa negeri, khususnya berkaitan Mahkamah Syari’ah. Hakikatnya Undang-undang Islam adalah undang-undang yang perlu dilaksanakan oleh negeri, bahkan juga oleh Persekutuan. Islam bukan sahaja perlu didukung oleh Mahkamah Syariah, bahkan juga perlu didukung oleh mahkamah arus perdana dalam negara ini.

Misalnya dalam menangani kesalahan liwat, Undang-undang Persekutuan melalui Kanun Keseksaan memang memperuntukkan kesalahan liwat sebagai satu jenayah. Kewujudan peruntukan ini menunjukkan bahawa telah terlaksana kehendak Syariah. Cuma aspek yang mungkin perlu ditambahbaik ialah dari sudut hukuman dan prosedurnya.

Begitu juga aspek perundangan lain seperti kewangan, kontrak, rasuah, peraturan tanah dan sebagainya sudah mempunyai unsur Islamik, cuma memerlukan kepada penambahbaikan agar ia benar-benar menepati kehendak Islam atau dalam istilah popular hari ini, ia perlu ‘patuh Syariah’.

Oleh yang demikian, ketika bidang kuasa Mahkamah Syariah ditafsirkan secara sempit begini, para pencinta undang-undang Islam tidak perlu rasa tersisih atau lemah semangat. Bahkan inilah masanya untuk membuka dimensi yang lebih luas dalam usaha memartabatkan Undang-undang Islam. 

Desakan perlu dihalakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Undang-undang Islam dengan lebih menyeluruh dalam semua aspek termasuklah dalam aspek jenayah. Tanggungjawab untuk mendukung Islam yang merupakan ‘agama Persekutuan’ sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan adalah sebahagian dari tanggungjawab penting Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan tidak boleh berlepas tangan dengan alasan ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri. Islam adalah agama yang syumul atau menyeluruh iaitu meliputi aspek ekonomi, politik, keselamatan, pendidikan, jenayah, urusniaga dan lain-lain. 

Memandangkan skop kuasa kerajaan negeri adalah terhad kepada beberapa perkara seperti urusan kekeluargaan, pusaka dan seumpamanya, maka urusan yang lain adalah terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Islam sebagai agama Persekutuan perlu diterjemahkan melalui tindakan.

Sebagai warganegara, kita perlu akur dengan keputusan Mahkamah yang mengehadkan skop ‘jenayah Syariah’ yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah. Bagi mengimbangi tafsiran yang sempit ini, Kerajaan Persekutuan digesa agar segera mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan pematuhan syariah bagi undang-undang jenayah yang berkuatkuasa dalam negara. 

Kerajaan perlu segera menubuhkan satu Jawatankuasa Semakan Semula Undang-undang Jenayah yang bertujuan untuk membuat semakan menyeluruh ke atas Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah dan Akta Keterangan agar ia lebih menepati kehendak Islam.

Undang-undang Islam adalah undang-undang yang menepati fitrah manusia. Proses Islamisasi perundangan jenayah adalah proses untuk ‘memanusiakan’ (to humanise) sistem perundangan. 

Kita boleh menjadikan undang-undang negara menepati citra Islam, walau pun tanpa meletakkan label ‘Islam’ atau ‘Syariah’. Matlamatnya adalah untuk memastikan sistem perundangan menepati kehendak Allah S.W.T Tuhan Yang Maha Adil dan Penyayang. InsyaAllah semakin dekat sesuatu sistem perundangan itu dengan Islam, semakin luas dan melimpah rahmat, keberkatan dan keamanan yang akan menyelimuti rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 25/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -