Hutang kerajaan Persekutuan RM874.3 bilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hutang Kerajaan Persekutuan mencatatkan sebanyak RM874.3 bilion atau 60.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi akhir September tahun ini.

Namun, Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah berkata, berdasarkan pengiraan had statutori, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) hanya mencatat 56.6 peratus daripada KDNK, kurang daripada had 60 peratus yang baharu ditetapkan (Akta 830 Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan (Penyakit Koronavirus 2019(COVID19)).

- Advertisement -

“Dengan mengambil kira kesemua tanggungan sedia ada, secara keseluruhannya pendedahan hutang dan liabiliti Kerajaan dianggarkan berjumlah RM1,257 bilion atau 87.3 peratus daripada KDNK pada akhir September 2020,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang meminta penjelasan Menteri Kewangan berhubung kedudukan hutang semasa negara dan nisbah hutang negara kepada KDNK.

Justeru, katanya kerajaan komited untuk memastikan pembiayaan semula hutang Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara teratur mengikut jadual.

Dalam pada itu, Shahar berkata, dalam situasi krisis Covid-19 kini, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi terutamanya bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong aktiviti perniagaan.

“Setelah ekonomi kembali pulih, kerajaan akan kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam usaha memastikan paras pendedahan hutang dan liabiliti kewangan Kerajaan Persekutuan kekal terkawal dan terurus.

“Langkah tersebut termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta peningkatan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal kerajaan.

“Oleh yang demikian, keperluan pinjaman Kerajaan akan dapat dikurangkan dan seterusnya ini akan dapat mengawal pendedahan hutang dan liabiliti kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mohamad Sabu dalam soalan tambahannya mempersoalkan tentang kesediaan kerajaan untuk mengembalikan semula cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menambahkan pendapatan negara.

Membalas soalan tersebut, kata Shahar, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan kembali GST saat ini, namun sedang mengkaji pelbagai elemen lain yang sesuai.

“Di saat ini kita (kerajaan) memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu menjaga kesihatan rakyat, menjaga kelangsungan ekonomi dan memastikan ketahanan ekonomi.

“Bukan memperkenalkan semula GST, itu pilihan kita terkini. Kerajaan akan mengkaji kesemua. Dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan banyak memberi tumpuan kepada langkah lain seperti mempertingkatkan penguatkuasaan MATF (Pasukan Petugas Pelbagai Agensi) bagi mengurangkan ketirisan hasil negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -