Peralatan digital bermanfaat ketika sekolah dibuka

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

ALOR SETAR: Orang ramai dianggap tidak wajar mempertikaikan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka semula sesi persekolahan bermula pada 3 Mac ini.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, peralatan pembelajaran digital dalam talian masih bermanfaat biarpun sesi persekolahan bermula.

Katanya, program-program pendidikan secara atas talian boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja termasuk ketika sesi persekolahan.

“Adalah tidak rasional sekiranya ada pihak mempertikaikan pengumuman KPM membuka sesi persekolahan bermula minggu hadapan setelah ibu bapa bertungkus lumus menyediakan peralatan pembelajaran online.

- Advertisement -

“Selagi Pandemik Covid-19 belum berakhir tidak mustahil pembelajaran Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dilaksanakan semula,” kata beliau di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan menyifatkan keputusan KPM sering berubah-ubah sepanjang tempoh negara diancam Covid-19.

Menurutnya, apa yang dilakukan KPM sekarang menyusahkan pelajar, ibu bapa serta guru memandangkan pihak terbabit dianggap mengamalkan flip flop yang perlu dihentikan segera.

Malah kata beliau dalam satu kenyataan kebanyakan ibu bapa bergolok bergadai membeli pelbagai peranti digital bagi pembelajaran anak-anak secara dalam talian.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan 2021 akan bermula secara berperingkat melibatkan pelajar tahun satu dan dua bermula 3 Mac ini.

Manakala tahun tiga, empat, lima dan enam pada 8 Mac. Dan pada 4 April semua sekolah rendah dan menengah akan beroperasi sepenuhnya.

Dr Ahmad Fakhruddin juga berkata selagi pandemik belum berakhir sepenuhnya pembelajaran secara PdPR boleh berjalan setiap masa biarpun ketika sesi persekolahan dibuka.

“Saya percaya kalau KPM mendapati ada pelajar di sekolah tertentu positif Covid-19, maka sudah pasti premis berkenaan akan diarah tutup dan pada ketika itu PdPR akan kembali berfungsi.

“Orang ramai seharusnya memberi ruang dan peluang kepada KPM untuk melaksanakan tanggungjawab pendidikan kepada pelajar sebaik mungkin.

“Tentunya pihak berkenaan sudah mengambil kira risiko yang bakal dihadapi berdasar nasihat pakar-pakar yang terlibat secara langsung dengan isu-isu berkaitan,” ujar Dr Ahmad.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berharap ibu bapa memberi sokongan kepada pihak pentadbiran sekolah ketika transisi sesi persekolahan bermula.

“Nasihatkan anak-anak supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pastikan pelajar sihat ketika datang ke sekolah,” katanya.

Malah beliau mendapati pelajar seperti tidak sabar hadir ke sekolah selepas sesi persekolahan ditutup dalam tempoh lama akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -