INDERA MAHKOTA: Pemasyhuran Kuantan sebagai bandaraya menuntut aspek kualiti dan taraf dalam pelbagai aspek dipertahan serta dipertingkatkan agar ia terus memberi kesan besar yakni manfaat kepada rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu perkara itu menjadi cabaran dan tanggungjawab bukan sahaja kepada tenaga kerja Majlis Bandaraya Kuantan, tetapi juga oleh warga penduduk Ibu Negeri ini.
“PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada seluruh tenaga kerja Majlis Perbandaran Kuantan sebelum ini yang telah berusaha keras menaikkan taraf Kuantan itu sendiri sehingga menjadi sebuah bandaraya.
“Ianya bukanlah satu tugas yang mudah dan kecil untuk menaik dan meningkatkan taraf semua peringkat, dari aspek kehidupan dari sudut ekonomi, sosio budaya, infrastruktur kemudahan lain, keceriaan alam sekitar, sains dan teknologi serta pelbagai kemudahan informasi dan multimedia dan sebagainya,” puji beliau.
Andansura yang juga ADUN Beserah menyifatkan kejayaan bersejarah tersebut ditempa dari hasil usaha warga tenaga kerja Majlis Perbandaran Kuantan sebelum ini dalam tumpuan dan menggalas tanggungjawab mereka sebaiknya.
Untuk itu, beliau mengharap dukungan bersama daripada warga penduduk bandaraya ini untuk memastikan kelestarian kehidupan yang harmoni, sejahtera dan maju tanpa bergelut isu-isu dari persepsi negatif ditimbulkan.
Beliau merujuk kebimbangan kononnya naik taraf kepada bandaraya itu akan menyebabkan banyak perkara akan berubah menjadi mahal, kenaikan cukai dan sebagainya di mana ia mesti dibetulkan kepada fokus sepatutnya.
Seru beliau, naik taraf tersebut mesti diisi untuk meningkatkan lagi aspek kualiti dan rangkaian yang seiring martabat bandaraya itu termasuk juga prasarana ekonomi, peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.
Andansura turut merakamkan penghargaan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sokongan diberikan serta kepada Datuk Hamdan Hussin atas pelantikan sebagai Datuk Bandar yang pertama bagi bandaraya ini.
Pemasyhuran tersebut telah disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam majlis bersejarah 21 Februari baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 24/2/2021