Kesedar fokus selesai hak milik tanah peneroka

- Advertisement -

BACHOK: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berusaha menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka biarpun negara masih berhadapan pandemik Covid-19.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kesedar, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pemilikan tanah membabitkan lebih 2,000 peneroka dijangka dapat diselesaikan tahun ini.

Katanya, usaha itu dilaksanakan secara berperingkat selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Lembaga Pengarah Kesedar.

“Sekarang dalam proses menukar hak milik tanah dimiliki Kesedar dan apabila selesai dengan Pejabat Tanah dan Galian kita akan tukar nama kepada peneroka terbabit.

- Advertisement -

“Kalau hendak kata janji pun janjilah.. tetapi itu harapan yang sedang dilaksanakan sekarang. Bagi saya ini berita gembira kepada peneroka sejak puluhan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Gerak Tumpu Info On Wheels (IOW) Proklamasi Darurat dan Kempen Pematuhan SOP Covid-19 di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Budi di sini hari ini. (Foto atas)

Turut hadir Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood, Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Husin dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Azhar Ismail.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, penyelesaian isu tersebut merupakan fokus utamanya selepas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah agensi itu pada Mei 2020.

“Saya tumpu kepada isu yang masih tidak selesai di peringkat Kesedar terutama pemilikan tanah, alhamdulillah mesyuarat yang kita adakan sebelum ini lebih tertumpu perkara itu.

“Ia sudah berjalan sebulan lepas. Saya dimaklumkan peneroka begitu gembira setelah diberi peluang untuk memiliki sendiri ladang yang diusahakan sejak berpuluh tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -