PM seru rakyat daftar suntikan vaksin

Foto daripada Facebook KKM.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat Malaysia yang diputuskan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dapat tampil ke hadapan bagi menerima suntikan secara percuma.

Beliau merupakan orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech dan menyatakan keyakinan bahawa vaksin itu selamat dan berkesan.

“Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana hari ini saya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang pertama di Malaysia.

“Saya yakin bahawa vaksin ini cukup selamat dan berkesan. Kalau tengok keadaan saya setakat ini alhamdulillah.

- Advertisement -

“Jadi saya nak merayu kepada seluruh rakyat dan mereka yang tinggal di Malaysia yang telah pun kita putuskan untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma agar tampil ke hadapan untuk mendaftar di dalam MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, hari ini. (Foto atas)

Turut menerima suntikan vaksin sama hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Empat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menjadi antara penerima awal vaksin Covid-19 hari ini ialah Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Dr Tan Yee Ling, Penolong Pegawai Perubatan di PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin, jururawat di Klinik Kesihatan Presint 9, Sheilla Mellisa Sikin dan pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Clement a/l Marai Francis.

Menurut Muhyiddin, beliau yakin dan percaya bahawa usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini akan berjaya.

“Saya yakin dan percaya usaha yang sedang dibuat oleh pihak kerajaan ini untuk menentukan kita dapat memutuskan rantaian Covid-19, insya-Allah akan berjaya.

“Jadi, saya sekali lagi saya menyeru supaya kita sama-sama mendukung usaha ini supaya negara kita nanti dalam tempoh masa yang singkat akan bebas daripada wabak Covid-19,” katanya lagi.

Beliau turut mengatakan bahawa suntikan vaksin Covid-19 itu tidak sakit dan seperti mengambil suntikan biasa. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -