Boleh berpakaian biasa ke sekolah sehingga 26 Mac

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kelonggaran kepada murid-murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah untuk memakai pakaian biasa sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

Dalam kenyataan media hari ini, KPM memaklumkan kebenaran itu diberi mulai 1 Mac sehingga 26 Mac, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

Menurut KPM, pakaian biasa tersebut mestilah sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah.

“KPM menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa tentang peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

“Untuk makluman, murid perlu memakai pakaian seragam sekolah untuk hadir ke sekolah seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah.

- Advertisement -

“Namun begitu, mengambil kira keadaan semasa, KPM ingin memaklumkan murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, kementerian berharap kebenaran itu akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

Pada 19 Februari lalu, kementerian mengumumkan tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Kumpulan yang akan mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 24/2/2021