Guru silat lega dibantu ahli parlimen

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang guru silat yang cukup dikenali di Padang Tembak Pengkalan Chepa kini menjual apam balik di hadapan rumahnya untuk menyara kehidupan keluarga.

Bagaimanapun Muhammad Muzani Muhamad, 28 sejak beberapa tahun lalu menghidapi masalah pernafasan terutamanya pada waktu malam.

Beliau yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik beradik berdepan dengan masalah itu sehingga merisaukan ahli-ahli keluarganya.

“Pada waktu malam pernafasan saya berbunyi agak kuat sehingga emak dan ayah bimbang. Mereka anggap saya seolah-olah kelemasan ketika bernafas.

- Advertisement -

“Saya dilahirkan dalam keadaan normal seperti anak-anak yang lain, namun sejak beberapa tahun ini mengalami masalah pernafasan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum itu beliau menerima sumbangan kewangan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary.

Muzani juga berkata, doktor mencadangkan beliau menggunakan alat khas (mesin oksigen) bagi membantu bernafas khususnya pada waktu malam.

Menurutnya kerajaan bersedia menyumbang mesin berkenaan yang dianggarkan berharga kira-kira RM17,000.

Bagaimanapun katanya untuk memiliki mesin tersebut beliau perlu membayar pendahuluan sebanyak RM2,000.

“Saya bersyukur kerana Ahli Parlimen Pengkalan Chepa membantu saya dengan menyumbang RM2,000 bagi membolehkan membayar deposit bagi mendapatkan mesin oksijen,” ujarnya.

Beliau juga berkata, dengan menjual apam tidak mampu memiliki mesin tersebut, lebih-lebih lagi kedua ibu bapanya juga uzur.

Sementara itu Ahmad Marzuk berharap Muzani dapat memanfatkan mesin tersebut bagi mengatasi masalah pernafasan yang dihidapinya sebelum ini.

“Beliau seorang anak muda itu seorang yang tabah, rajin mencari rezeki. Sebelum ini menjadi jurulatih silat dan sekarang berniaga apam balik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -