Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara ini termaktub dalam sub perenggan 14(1)b Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif bagi membendung wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” katanya.

- Advertisement -

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.

Menurut Dato’ Indera Ahmad Fadil, dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Katanya, Baginda Sultan juga mengambil maklum hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia serta dipandang tinggi.

Berhubung perkembangan terkini Covid-19, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta agensi kerajaan yang berkait, atas usaha merialisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada hari ini dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalan memerangi wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -