Exco, pegawai kanan sedia terima suntikan vaksin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua anggota Exco Kerajaan Negeri, pegawai kanan kerajaan, anggota keselamatan dan petugas kesihatan akan menerima vaksin Covid-19 apabila bekalan itu tiba di Kelantan, esok.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri akur terhadap arahan kerajaan pusat yang mengutamakan barisan hadapan dan golongan berisiko dijangkiti wabak tersebut.

“Kita ikut arahan utamakan barisan hadapan, mereka yang berisiko dan ada masalah. Jadi kita tunggulah kerana benda ini sukarela bukan wajib, setakat ini kita tiada arahan lagi.

“Kita pun bersedia menerima suntikan. Begitu juga Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut bersedia untuk menerima vaksin,” katanya selepas mesyuarat Exco di MABNA MBI Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun kata beliau sehingga sekarang kerajaan negeri tidak menerima makluman dari pihak berkaitan bila suntikan vaksin tersebut akan dilaksanakan di Kelantan.

Sementara itu pada perkembangan berkaitan empat kenderaan pengiring bersama 12 pegawai dan anggota polis terlibat membawa vaksin ke Kelantan sudah bertolak ke ibu negara.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, konvoi tersebut berlepas hari ini dan dijangka tiba di Kelantan esok.

“Konvoi itu tidak akan berhenti di mana-mana tempat dalam perjalanan tersebut. Konvoi tersebut mengiringi bekalan vaksin untuk 3,922 anggota keselamatan yang juga barisan hadapan di Kelantan,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama di negara ini menerima suntikan vaksin di Putrajaya petang ini.

Sebelum ini Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob turut bersedia menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -