Vaksin COVID-19: Perlu dijayakan bersama

- Advertisement -

‘PENGALAMAN paling mendebarkan sepanjang tempoh 29 tahun.’ Kapten Hamdan Che Ismail meluahkan debaran yang dirasai beliau dalam memastikan kumpulan pertama vaksin COVID-19 selamat tiba di negara semalam. 

Tahniah dan terima kasih kepada kapten, barisan kru dan semua pihak yang telah terlibat. Perbekalan vaksin COVID-19 merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat. Sebanyak RM2.05 bilion (jumlah awal) dibelanjakan bagi mendapatkan vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia. 

Dalam Belanjawan 2021 juga, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM31.9 bilion kepada KKM khusus bagi memerangi pandemik ini. Namun bagi menjayakan agenda ini, keterlibatan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 24 Februari nanti.

- Advertisement -

Masyarakat seharusnya tidak berbalah mengenai penggunaan vaksin ini kerana ia telah mendapat kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Fatwa Kebangsaan juga telah mengeluarkan hukum harus bagi penggunaan vaksin COVID-19, dan wajib bagi golongan yang telah ditetapkan kerajaan. Menariknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ayoh Chik sendiri telah menyatakan kesediaan untuk menjadi penerima terawal vaksin tersebut. 

Saya mendoakan agar usaha ini membuahkan hasil. Letakkan pengharapan kepada Allah S.W.T untuk melenyapkan pandemik agar kehidupan seharian menjadi seperti sedia kala. Insya-Allah.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -