Polis iringi penghantaran vaksin Covid-19 ke Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 1,430 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan akan diberi suntikan bagi fasa pertama vaksin Covid-19.

Sejumlah 3,922 dos yang akan diterima oleh pegawai dan anggota polis di Kontijen Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu suntikan fasa pertama akan dikhusus kepada petugas barisan hadapan.

“Pada 24 Februari ini pasukan kami akan mengiringi sejumlah vaksin Covid-19 yang diambil daripada Pusat Penyimpanan di Subang Jaya untuk dibawa ke Kelantan.

- Advertisement -

“Sehingga hari ini kita mempunyai sebanyak 13 lokasi pemberian vaksin yang akan dilakukan di setiap IPD, manakala seterusnya di peringkat kontijen,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan hari ini. (Foto atas)

Tambah beliau, bekalan vaksin tersebut juga termasuk untuk pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Menurutnya juga pemeriksaan kesihatan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum individu berkenaan diberikan suntikan vaksin.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

Vaksin Covid-19 tiba melalui pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi semalam.

Fasa pertama program bermula Februari hingga April ini melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos membabitkan kumpulan berisiko tinggi dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara fasa ketiga bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -