Buli siber: Rahmat Care kecewa netizen kurang adab

Photo by Solen Feyissa on Unsplash
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Rahmat Care menzahirkan rasa kecewa dengan seikap segelintir pengguna media sosial yang kurang adab ketika menggunakan platform tersebut.

Pengerusinya, Ustaz Mohammad Ibrahim berkata, walaupun hasrat sebenar adalah untuk menegur atau membetulkan kesalahan orang lain, namun tindakan tersebut amat tidak wajar.

- Advertisement -

Jelasnya, pelbagai kaedah dan kata-kata yang lebih sopan serta sesuai dijadikan insiatif untuk memperbaiki mana-mana kesalahan orang lain berbanding memalukan individu tersebut.

“Tindakan tersebut umpama buli siber, dan tentunya ia akan memberi trauma kepada individu lain yang menerima kritikan itu. Berbeza sebuah kritikan yang membina dan kritikan yang menghina,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah video yang tular memaparkan seorang lelaki mentertawakan seorang guru Sains Tahun 2 kerana salah menyebut perkataan di dalam Bahasa Inggeris.

Lelaki tersebut bagaimanapun telah memohon maaf secara terbuka di atas keterlajuran kata-katanya itu.

Justeru itu, Mohammad Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China berharap agar rakyat Malaysia dapat mengambil pengajaran daripada insiden itu dan menggunakan platform media sosial secara matang.

“Diharapkan rakyat Malaysia tidak meniru perbuatan buli siber sedemikian kepada individu lain dan berfikiran dengan lebih matang dan kehadapan dalam melontarkan kata-kata dan komen di alam maya.

“Hal ini kerana, tiada siapa yang tahu impak yang diterima oleh pembaca sekiranya mereka melihat komen-komen dan teguran-teguran yang barang kali tidak sensitif di mata penulis, tapi sensitif di mata pembaca,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut kata Ustaz Mad China, tugas guru hari ini sebagai pendidik bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi zaman hari ini penuh dengan caraban-cabaran baharu yang memerlukan para pendidik lebih gigih menabur bakti.

Oleh itu, beliau mewakili Rahmat Care berharap para guru tidak berputus asa untuk terus mendidik anak bangsa serta cekal dan tabah menghadapi rintangan dan ujian hari ini.

Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa tugas mendidik bukan hanya terletak di bahu pendidik, bahkan ia terletak di bahu ibu bapa dan juga masyarakat sekeliling.

Katanya, masa depan bangsa dan negara bergantung kepada sejauh mana usaha kita hari ini untuk mendidik mereka, bukan hanya di bahu guru.

Di samping itu, Rahmat Care pada masa sama turut menghargai usaha kerajaan merealisasikan TV Pedidikan iaitu DidikTV yang dilihat mencapai matlamat dan objektif pembangunannya.

Semoga usaha murni itu dapat diteruskan untuk membantu pelajar-pelajar mengulang kaji pelajaran di rumah selain hanya menonton TV kerana hiburan semata-mata, ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -