Ikut jenazah orang kafir ke kubur

Foto hiasan.
- Advertisement -

Hadis Musnad Imam Syafie Hadis ke-74

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي إنَّ أَبِي قَدْ مَاتَ قَالَ اذْهَبْ فَوَارِهِ فَقُلْتُ إنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا قَالَ اذْهَبْ فَوَارِهِ فَوَارَيْتُهُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ قَالَ اذْهَبْ فَاغْتَسِلْ

Ertinya: “Wahai Rasulullah! Demi bapaku dan ibuku sungguhnya bapaku telah mati. Sabda Nabi SAW: Pergilah kamu semadikannya. Maka aku berkata: Sungguhnya dia mati sebagai seorang musyrik. Nabi SAW bersabda: Pergilah kamu semadikannya. Lalu aku pun pergi semadikannya kemudian datang pula aku kepada Nabi SAW dan Nabi SAW berkata: Pulanglah kemudian engkau mandilah.”
Hadis ini juga dikeluarkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dan Ibnu Majah.

Hadis ini datang pada menerangkan hukum orang Islam menguruskan kematian kaum kerabatnya yang kafir.

- Advertisement -

Keterangan

Hukum mandikan jenazah orang kafir dan hantar ke kubur

Berkata Imam Ar-Rafie:

وفيه أنه لا بأس بأن يدفن المسلم قريبه المشرك ويتبع جنازته.
قال الشافعي: ولا بأس بغسله أيضًا.
وذكر أن النبي – صلى الله عليه وسلم – إنما أمر عليًّا -رضي الله عنه- بالغسل لأنه غسله ، والغسل من غسل الميت محبوب، روي عن النبي – صلى الله عليه وسلم – أنه قال: “من غسل ميتًا اغتسل، ومن حمله توضأ

Ertinya: Dan pada hadis ini sungguhnya tiada salah bahawa seorang yang Islam menanam mayat kaum kerabatnya yang kafir dan mengikut jenazahnya ke kubur.

Dan disebut bahawa Nabi SAW sungguhnya menyuruh akan Ali r.a. supaya mandi kerana beliau telah memandikan jenazah bapanya. Dan bermula mandi sebab memandikan mayat adalah disunatkan. Dan diriwayatkan daripada Nabi SAW baginda bersabda: Barangsiapa yang telah memandikan akan mayat, maka hendaklah dia mandi dan barangsiapa yang telah memikul akan jenazah maka hendaklah dia berwuduk.” (Kitab Syarah Musnad As-Syafie)

Berkata Imam Ibnu Al-Asir:

وقال: لا بأس أن يغسل المسلم ذا قرابته من المشركين ويتبع جنازته ويدفنه ولكن لا يصلى عليه

Ertinya: “Tiada salah bahawa seorang Islam itu memandikan kaum kerabatnya dari orang-orang musyrikin dan mengikutnya hantar ke kubur dan menanamnya akan tetapi tidak sembahyangkan atasnya.” (Kitab As-Syafie fi Syarh Musnad As-Syafie)

Ada pun sembahyangkan mayat orang kafir itu haram ia dengan ijmak.

Dan begitu juga harus orang Islam ziarah kubur kaum kerabatnya yang kafir di sisi kebanyakan ulamak.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

وَيَجُوزُ لِلْمُسْلِمِ زِيَارَةُ قَبْرِ قَرِيبِهِ الْكَافِرِ عِنْدَ الْأَكْثَرِينَ

Ertinya: “Dan harus bagi orang Islam ziarah kubur kaum kerabatnya yang kafir di sisi kebanyakan ulamak.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Hukum uruskan dan ikut jenazah orang kafir yang bukan kaum kerabat

Orang Islam dilarang mengikut jenazah orang kafir menghantarnya ke kubur melainkan orang kafir yang mati itu ialah kaum kerabatnya.

Diriwayatkan daripada Abi Wail beliau berkata:

مَاتَتْ أُمِّي وَهِيَ نَصْرَانِيَّةٌ فَأَتَيْتُ عُمَرَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: ارْكَبْ دَابَّةً وَسِرْ أَمَامَهَا.

Ertinya: “Telah mati ibuku dan dia beragama Kristian maka aku pergi bertanya akan Umar r.a. tentang hal itu. Kata Umar: Naiklah kenderaan dan berjalanlah di hadapan jenazah.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Menyebut oleh Syeikh Ar-Ramli:

تَحْرِيمَ تَشْيِيعِ الْمُسْلِمِ جِنَازَةَ الْكَافِرِ غَيْرَ نَحْوِ الْقَرِيبِ ، وَبِهِ صَرَّحَ الشَّاشِيُّ

Ertinya: “Diharamkan bagi orang Islam mengikut jenazah orang kafir yang bukan dari kaum kerabat dan dengannya telah menjelaskan oleh Imam As-Syasyi As-Syafie.” (Kitab An-Nihayah)

Dan jika mayat orang kafir itu tidak ada keluarga menguruskannya atau keluarganya tidak mahu menguruskannya maka harus orang Islam menguruskannya.

Menyebut oleh Imam Nawawi:

فان لم يكن له قَرَابَةٌ مِنْ الْكُفَّارِ أَوْ كَانُوا وَتَرَكُوا حَقَّهُمْ مِنْ غُسْلِهِ جَازَ لِقَرِيبِهِ الْمُسْلِمِ وَلِغَيْرِ قَرِيبِهِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ غُسْلُهُ وَتَكْفِينُهُ وَدَفْنُهُ

Ertinya: “Maka jika tiada bagi mayat kafir itu kaum kerabat yang kafir atau kaum kerabatnya yang kafir itu melepaskan hak mereka untuk memandikannya nescaya harus bagi kaum kerabatnya yang Islam dan harus juga bagi orang Islam yang bukan kaum kerabatnya memandikannya dan mengkafankannya dan menanamnya.” (Kitab Al-Majmu’)

Dan berkata Imam Nawawi:

لا يكره للمسلم اتباع جنازة قريبه الكافر ونص عليه الشافعي في مختصر المزني

Ertinya: “Tidak makruh bagi orang Islam mengikut hantar jenazah kaum kerabatnya yang kafir dan telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie pada Kitab Mukhtasar Al-Muzani.” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)

Hantar jiran yang kafir juga diharuskan

Sebahagian fuqahak mengharuskan juga orang Islam menziarahi jenazah jirannya yang kafir kerana dikiaskan dengan kaum kerabat.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

قَالَ الْأَذْرَعِيُّ: وَلَا يَبْعُدُ إلْحَاقُ الزَّوْجَةِ وَالْمَمْلُوكِ بِالْقَرِيبِ وَهَلْ يَلْحَقُ بِهِ الْجَارُ كَمَا فِي الْعِيَادَةِ؟ فِيهِ نَظَرٌ اهـ. وَالظَّاهِرُ الْإِلْحَاقُ

Ertinya: “Telah berkata oleh Imam Al-Auza’ie: Dan lebih dekat kepada dibolehkan menghubungkan akan isteri dan hamba dengan kaum kerabat itu. Dan adakah jiran juga boleh dihubungkan dengannya pada hukum ziarah? Pada masalah ini ada penelitian dan pendapat yang zahir ialah dibolehkan.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Maksudnya jikalau mati seorang kafir yang berjiran dengan orang Islam maka jirannya yang Islam itu boleh menziarahinya.

Syarat diharuskan orang Islam menghadiri kematian orang kafir

Para ulamak menyebut sungguhnya orang Islam yang hendak hadir pada kematian kaum kerabatnya yang kafir disyaratkan:

Hadirnya itu kerana mengambil pengajaran dan iktibar.
Bahawa berjalan ia di depan jenazah.
Tidak melakukan syiar-syiar orang kafir sama ada pada perbuatan atau perkataan.
Tidak mendoakan bagi mayat itu dengan keampunan atau rahmat.
Bukan mayat itu daripada kafir harbi.

Sunat mandi selepas memandikan mayat

Disunatkan mandi ke atas orang yang telah memandikan mayat di sisi jumhur ulamak dan disunatkan berwuduk ke atas orang yang memikul akan jenazah.

Berkata Imam Ibnu Al-Asir:

قال الشافعي: وأولى الغسل عندي أن يجب بعد غسل الجنابة من غسل الميت، ولا أحب تركه بحال

Ertinya: “Telah berkata Imam Syafie: Adalah yang paling afdhal di sisiku selepas daripada mandi janabah ialah mandi kerana memandikan mayat dan aku makruhkan meninggalkan mandi ini.” (Kitab As-Syafie fi Syarh Musnad As-Syafie)

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda:

مَنْ غَسَّلَ مَيِّتًا فَلْيَغْتَسِلْ، وَمَنْ حَمَلَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Ertinya: “Barangsiapa telah memandikan akan mayat maka hendaklah dia mandi dan barangsiapa yang telah memikul akan mayat maka hendaklah dia berwuduk.” (Hadith riwayat Tirmizi dan An-Nasaie)

Menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili:

الغسل لغسل الميت، المسلم أو الكافر: وهو مستحب عند المالكية والشافعية والحنابلة، لقولهصلّى الله عليه وسلم: من غسل ميِّتاً فليغتسل، ومن حمله فليتوضأ

Ertinya: “Bermula mandi kerana memandikan mayat sama ada mayat orang Islam atau kafir ialah disunatkan di sisi ulamak mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali kerana sabda Nabi SAW: Barangsiapa telah memandikan akan mayat maka hendaklah dia mandi dan barangsiapa telah memikul akan mayat maka hendaklah dia berwuduk.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -