Perjudian membarah di dalam masyarakat

Tanggapan Pengarang The Star terhadap PAS diluruskan, buka wacana mengenai maksiat

- Advertisement -

PERJUDIAN merupakan salah satu masalah di dalam masyarakat yang menyebabkan institusi keluarga roboh, pergaduhan di kalangan ahli masyarakat dan ada sesetengah kes yang membawa kepada kejadian bunuh diri. Ianya telah memberi kesan yang sangat buruk di dalam masyarakat di mana ianya boleh membawa kepada masalah ketagihan dan kemurungan kepada individu terbabit.

Institusi kekeluargaan yang roboh menyebabkan generasi muda yang terhasil dari keluarga terbabit seolah-olah hilang nilai kemanusiaan dan pedoman di dalam kehidupan. Ianya boleh menjurus kepada keadaan yang lebih serius seperti masalah ketagihan dadah, ragut dan jenayah pembunuhan.

Masalah perjudian juga telah menyebabkan kes-kes meminjam wang dari ceti haram atau dikenali sebagai ‘Along’ semakin meningkat. Ianya tidak dapat dibendung lagi lebih-lebih lagi kepada individu yang menghidapi masalah ketagihan untuk berjudi.

- Advertisement -

Persatuan Psikiatri Amerika Syarikat telah memberi definisi ‘Perjudian Patologikal’ sebagai suatu kecelaruan kawalan impulsif di mana individu terbabit mempunyai ciri-ciri ketagihan untuk berjudi secara berterusan dan berulang.

Dalam suatu artikel di dalam akhbar The Star pada 21 Februari 2021, ruang ‘StarFocus’, pada muka surat 11 yang bertajuk ‘A Shot in the foot’, ditulis oleh Datuk Seri Wong Chun Wai, penulis seolah-olah menggambarkan bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) beranggapan bahawa dunia yang sentiasa digambarkan oleh PAS ialah dunia yang sangat baik (‘ideal’), iaitu bebas dari sebarang noda dan dosa (‘In PAS’ Utopian world, vices don’t exist’).

Penulis juga cuba menonjolkan suatu keadaan di mana sektor perjudian berlesen di Malaysia tidak wajar disekat kerana ianya akan memberi peluang kepada sindiket perjudian yang tidak berlesen atau haram untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda.

Kerajaan mengutip cukai dari syarikat-syarikat yang mempunyai lesen sah perjudian dan beberapa peluang pekerjaan berjaya diwujudkan di dalam industri tersebut. Walau bagaimanapun, kelebihan yang dinikmati tersebut tidak mampu untuk mengatasi masalah-masalah kronik hasil dari aktiviti perjudian yang menyebabkan bebanan dan kecelaruan yang timbul di dalam masyarakat.

Perlu dinyatakan di sini bahawa PAS sentiasa membawa dasar dan polisi yang dibawa oleh Islam di mana ianya menjaga kepentingan seluruh manusia sama ada mereka yang menurut ajaran Islam atau tidak. Islam melihat perspektif di dalam menjaga hal kekeluargaan, keturunan dan hubungan di dalam masyarakat.

Isu perjudian tidak akan sama sekali dapat diatasi melalui pemberian lesen secara berterusan kepada syarikat-syarikat yang layak. Rakyat Malaysia sentiasa memegang prinsip Rukun Negara bagi menjaga keharmonian dan hubungan yang baik di kalangan penduduk di Malaysia. Ini jelas seperti yang disebut di dalam prinsip ke-5 Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.

Kami mempunyai kepercayaan yang penuh kepada penggubal dasar, penggubal undang-undang negara dan agensi kawal selia negara untuk membendung masalah sindiket perjudian haram melalui undang-undang di dalam negara seperti ‘Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001 (AMLATFPUAA)’ dan Akta Pencegahan Jenayah, 1959 (POCA). Ini telah dibuktikan di dalam beberapa kes tertentu yang telah disabitkan sebelum ini di mahkamah.

Walau bagaimanapun, setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan yang sangat besar bagi mengatasi masalah perjudian di dalam negara. Ianya perlu melibatkan suatu usaha secara kolektif agar masalah tersebut dapat dibendung sebelum ianya menjadi lebih serius. Kami sangat mengalu-alukan pandangan dan maklumat yang ingin dikongsikan oleh Datuk Seri Wong Chun Wai berkaitan masalah tersebut.

Kami bersedia untuk mendengar!

Yang benar,

RIZAL HAFIZ RUSLAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Tasek Gelugor, Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 22/2/2021

Versi English

- Advertisement -