Vaksin tidak melibat sebarang komponen haiwan

- Advertisement -

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tiga hospital di Kedah dikenal pasti sebagai pusat pengumpulan vaksin Covid-19 sebelum diedarkan ke pusat-pusat kesihatan di seluruh negeri itu.

Hospital tersebut iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, tiga hospital terbabit dipilih berdasar keupayaannya menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Ketiga-tiga hospital ini memiliki keupayaan menyimpan vaksin pada suhu diperlukan agar bertahan untuk jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, kesemua vaksin diedarkan ke pusat kesihatan mengikut jadual yang ketat kerana ia hanya mampu bertahan selama lima hari jika disimpan pada suhu antara dua hingga lapan darjah celsius.

Kata beliau juga seramai 2,300 pegawai dan kakitangan HSB Alor Setar akan menjadi golongan pertama menerima suntikan vaksin bermula hujung Februari ini.

“Mereka akan menerima suntikan di hospital terbabit, manakala petugas barisan hadapan lain pula di pusat-pusat kesihatan yang ditetap nanti.

“Namun setakat ini belum diketahui berapa jumlah keseluruhan petugas frontliners yang terlibat kerana jadual suntikan untuk mereka diurus Majlis Keselamatan Negara (MKN),” tambahnya.

Beliau turut menasihati rakyat Kedah supaya tidak bimbang untuk mendapatkan vaksin kerana penggunaannya disahkan selamat.

Menurutnya penghasilan vaksin tersebut tidak melibatkan sebarang komponen haiwan.

“Alhamdulillah pihak berkuasa agama juga mengatakan vaksin terbabit harus digunakan,” ujarnya.

Majlis Fatwa sebelum ini menjelaskan hukum harus menerima vaksin dalam suasana sekarang untuk menjaga kesihatan ekoran pandemik Covid-19 yang masih menular. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -