Judi punca rosak sistem sosial masyarakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekiranya kerajaan menjadikan alasan bahawa pengoperasian semula industri judi di dalam negara sebagai faktor penambah kepada pendapatan negara, ia adalah satu khabar yang amat menduka citakan.

Sedangkan, secara jelas aktiviti tersebut ditentang oleh ajaran agama Islam selain tidak memberi apa-apa kebaikan kepada rakyat dan masyarakat di dalam negara, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS), Ustaz Rizuan Rahmat.

- Advertisement -

Menurut beliau, DUPNS yakin bahawa kerajaan mampu untuk mencari jalan keluar mengatasi masalah kewangan dan ekonomi negara atau menambah pendapatan negara tanpa pengoperasian industri tersebut.

Hal ini kerana kerosakan yang diakibatkan oleh judi mampu membawa kemudaratan kepada hidup segelintir rakyat terutamanya mereka yang terlibat dengan judi secara langsung atau ketagihan judi sehingga merendahkan kualiti hidup dan keluarga.

Contohnya, individu yang ketagihan judi mungkin mula mengabaikan atau lalai menjalankan tanggungjawabnya serta mempunyai potensi terjebak dengan jenayah lain seperti mencuri dan sebagainya.

Bahkan, aktiviti perjudian juga antara kes yang mengundang kepada masalah perceraian, sekaligus membuktikan industri ini merosakkan sistem sosial dalam masyarakat hari ini.

Lebih parah, ada yang kes sehingga membabitkan pembunuhan, peras ugut terhadap keluarga sendiri atau orang terdekat.

Antara lainnya, sekiranya individu yang terlibat dengan judi mula meminjam wang daripada ‘ah long’, masalah tersebut akan membawa kepada kes ‘gangsterism’ pula dan keluarga adalah mangsa yang amat terkesan dengan masalah itu.

Selain itu, perjudian juga dikhuatiri akan turut memberikan implikasi terhadap negara memandangkan ia mampu membawa kepada jenayah rasuah yang tentunya melibatkan pemerintah-pemerintah.

Kata beliau, apabila ia sudah membabitkan integriti pemerintah, tentunya ia perlu dijadikan musuh utama supaya negara tidak terjerus ke kancah yang lebih buruk.

Apatah lagi, perjudian kini lebih mudah, hanya di hujung jari dan sesiapa sahaja boleh terjebak tanpa mengetahuinya seperti judi bola sepak.

Oleh itu, beliau mewakili DUPNS berpandangan bahawa adalah lebih baik kerajaan berusaha membendung gejala ini sebelum ia sudah terlewat.

Beliau berkata demikian sambil memetik beberapa potongan ayat-ayat Al-Quran yang melarang aktiviti perjudian dalam satu kenyataannya, hari ini.

Tambah beliau, DUPNS tetap dan konsisten berpendirian bahawa aktiviti judi harus dijadikan musuh utama insitusi kekeluargaan dan negara supaya tiada lagi mangsa-mangsa trauma akibat ketagihan judi yang membawa kepada jenayah-jenayah lain.

DUPNS mencadangkan supaya kerajaan dapat melenyapkan industri judi ini secara komited dan merancang untuk membuka peluang-peluang kepada industri lain yang mempunyai potensi tinggi untuk memberi kebaikan kepada rakyat dan negara tanpa melanggar tuntutan agama, ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -